HALAMAN SANTAI

Rabu, 15 September 2021

Negeri juga boleh gubal akta pecat ADUN lompat parti – Shahrir

MGF04072017_SIDANG-MEDIA-EKSPRESI-FELDA06
Shahrir Samad

KUALA LUMPUR – Kerajaan di peringkat negeri juga boleh menggubal undang-undang untuk memecat wakil rakyat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Recall Election State Level.

Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad berkata, prinsip undang-undang itu amat jelas dengan pengundi boleh membuat keputusan terhadap ADUN mereka sama ada hendak dipecat atau tidak.

Katanya, setiap wakil rakyat tidak boleh menganggap selepas mereka menang pada pilihan raya umum (PRU) kerusi itu menjadi hak peribadinya dan boleh dijadikan barang dagangan.

“Kerusi DUN adalah milik rakyat. Kita menang kerusi itu kerana pengundi pilih kita. Oleh itu wakil rakyat tidak boleh anggap kerusi itu hak peribadi mereka dan boleh lompat sana sini macam barang dagangan,” katanya menerusi hantaran Facebooknya.

Semalam, bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said memberi taklimat mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli-ahli Parlimen 2021 kepada kepimpinan negeri Johor.

Ahli Parlimen Pengerang itu turut memberi taklimat yang sama kepada barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang pimpinan Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Wisma Sri Pahang, Kuantan.

Pada 2 September lalu pula, Azalina yang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menghantar suatu notis Usul kepada Yang dipertua Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 49(1) untuk RUU Ahli yang Bukan Ahli Kerajaan pada hari sebelumnya.

Jelas Azalina usul RUU yang dicadangkan bertajuk Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021 yang disifatkan beliau selari dengan inisiatif ‘Anti Lompat Parti’ yang sedang diusahakan kerajaan.

Menurut Shahrir, secara dasarnya jika akta itu diluluskan akan memberi kuasa kepada rakyat bukan sahaja untuk memilih, tetapi memecat wakil rakyat mereka yang lompat parti. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: