HALAMAN SANTAI

Selasa, 14 September 2021

PAS junjung kasih titah Agong, fokus pemulihan negara

HARAKAH DAILY
 

KUALA LUMPUR: PAS menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas, hari ini.

Menurut Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, titah Al-Sultan Abdullah merupakan satu panduan kepada seluruh Ahli Dewan Rakyat supaya kekal fokus kepada agenda pemulihan negara dan Covid-19.

Katanya, tugas berat tersebut mesti dipikul bersama dalam kerangka demokrasi, syura dan semangat Keluarga Malaysia.

“PAS turut menghargai penghargaan baginda terhadap perkembangan positif daripada pelbagai usaha kerajaan seperti Pelan Pemulihan Negara (PPN), Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan siri-siri pakej rangsangan ekonomi yang bernilai RM530 bilion,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, PAS yakin masih banyak ruang penambahbaikan yang perlu difokuskan untuk memberdaya negara ke arah kejayaan yang lebih besar.

Menurutnya lagi, PAS akan terus menyuarakan hasrat dan kemahuan rakyat dalam sidang Parlimen kali ini.

Selain itu, PAS juga akan memastikan agenda penting seperti Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) dibahas secara konstruktif demi mencapai matlamat Malaysia makmur, inklusif dan mampan.

“PAS juga akan memastikan semua ahli Yang Berhormat sentiasa menyantuni dan empati terhadap nasib rakyat di lapangan.

“Semua kemudahan dan bantuan kerajaan akan dimanfaatkan secara optimum untuk membantu rakyat tanpa mengira anutan agama, kaum dan fahaman politik,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: