HALAMAN SANTAI

Ahad, 12 September 2021

Peguam Amanah mohon maaf kepada ahli akademik UUM

MALAYSIA NOW

Kamarul menyifatkan keputusan kes samannya sebagai kemenangan moral dalam menghadapi kes-kes saman fitnah lain yang beliau kemukakan.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia Kamarul Zaman Yusoff berjaya membersihkan namanya yang tercemar ekoran fitnah Naib Ketua Pemuda Amanah Perak Mohd Fitri Asmuni.

Dalam penghakiman persetujuan yang dicapai di depan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Zulqarnain Hassan, Fitri bersetuju membuat kenyataan permohonan maaf terhadap plaintif.

Kamarul yang diwakili peguam Mohd Harris Mohan Abdullah mengemukakan saman sivil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 atas fitnah dari dua artikel ditulis dan disiarkan oleh Fitri di Facebook.

Dua artikel yang dipertikaikan tersebut bertajuk “Dr Kamarul Yusoff, cybertrooper bertaraf doktor” dan “Dr Kamarul Zaman Yusoff kaki putar belit, Astora Jabat masa kini” masing-masing bertarikh 23 dan 25 Mei 2017 yang memfitnah Kamarul.

Di dalam kenyataan permohonan maafnya hari ini, Mohd Fitri yang diwakili Peguam, Noorazmir Zakaria, mengakui telah membuat kenyataan-kenyataan termasuk mendakwa Kamarul tidak mengikut etika penulisan ilmiah dalam membahaskan subjek yang diketengahkan selain mendakwa beliau hanya penulis Facebook yang menyamar sebagai pengkritik dan merupakan “cybertrooper” bertaraf doktor.

“Saya dengan rendah diri dan suci hati tanpa sebarang paksaan dan tanpa pengakuan terhadap liabiliti memohon maaf kepada Kamarul di atas penerbitan kedua-dua buah artikel tersebut yang telah mengguris hati beliau.

“Saya juga menarik balik kenyataan-kenyataan tersebut serta berjanji tidak akan menerbitkannya kembali atau menerbitkan apa-apa kenyataan yang seumpama dengannya di masa hadapan.

“Kenyataan ini dibuat atas semangat persahabatan dan saling hormat menghormati antara satu sama lain dan tidak ingin memanjangkan lagi kes ini di Mahkamah,” ujarnya di dalam kenyataan permohonan maaf di Facebook.

Ketika dihubungi, Kamarul mengesahkan perkara ini dan menyifatkannya sebagai satu kemenangan moral yang akan menjadikan beliau lebih bersemangat di dalam menghadapi kes-kes saman fitnah lain yang beliau kemukakan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada peguam saya yang mengusahakan cadangan penyelesaian ini dan kepada Mohd Fitri yang bersetuju untuk membuat kenyataan permohonan maaf dan menarik balik kenyataan-kenyataan tersebut.

“Saya dinasihatkan untuk tidak menyebut apa-apa peranan hakim di dalam penyelesaian ini.

“Kes saman terhadap Fitri ini sebenarnya hanyalah sebahagian kecil daripada kes-kes saman saya terhadap sekumpulan pemimpin DAP dan Amanah serta dua buah portal media, iaitu Malaysiakini dan Malaysia Dateline.

“Tumpuan sebenar saya adalah kepada kes-kes saman fitnah saya terhadap lapn ahli Parlimen DAP, iaitu Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Teresa Kok, Chong Chieng Jen, Lim Lip Eng, Wong Kah Woh, Hannah Yeoh dan Steven Sim.

“Kenyataan-kenyataan mereka, serta dua ahli Parlimen Amanah yang turut saya saman, iaitu Khalid Abdul Samad dan Mohamed Hanipa Maidin, lebih besar impaknya kerana mereka merupakan nama-nama besar dalam politik Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, Kamarul juga berkata, kes ini sewajarnya menjadi pengajaran kepada ahli-ahli politik, khususnya mereka yang dari golongan pemuda, supaya tidak bersuara mengikut rasa dan lebih berhemah di dalam berhujah.

“Golongan pemuda ini biasanya berdarah panas, tetapi masa sama mereka perlu memastikan hujah mereka rasional dan dipandu oleh fakta, dan tidak menggelar orang lain sesuka hati, bila sedar buat silap terus akui kesilapan dan mohon maaf,” katanya.

 

Tiada ulasan: