HALAMAN SANTAI

Ahad, 12 September 2021

Pemuda DAP gesa jangan undi kluster mahkamah jadi Timbalan Speaker


Pencalonan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai calon Timbalan Speaker perlu ditolak semua Ahli-ahli Parlimen (MP) yang akan bersidang pada Isnin ini, gesa Pemuda DAP Kebangsaan.

Ketua DAPSY, Howard Lee berkata jangan lupa ikrar mantan Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berpendirian tidak akan menyokong mana-mana individu yang terpalit dengan ‘kluster mahkamah’, ia memandangkan MP Pontian itu juga salah seorang daripada 15 MP yang menarik sokongan terhadap kerajaan terdahulu.

“Jangan kita lupa, ikrar pada jam-jam akhir Muhyiddin Yassin adalah untuk tidak akan bekerjasama dan menyokong individu terkait dengan ‘kluster mahkamah’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lee yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pakatan Harapan menyifatkan pencalonan Ahmad sebagai tidak wajar kerana sudah didakwa di mahkamah dan tidak mempunyai kredibiliti yang layak untuk melantiknya sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

“Martabat, integriti dan reputasi Dewan Rakyat sebagai asas kepada sistem demokrasi kita tidak boleh dikotori dan dicemari apabila kerusi penting tersebut diduduki oleh seseorang yang masih belum dibersihkan oleh mahkamah.

“Saya memohon agar kesemua 220 Ahli-ahli Parlimen untuk mengundi berdasarkan hati nurani masing-masing,” katanya lagi.

Beliau berkata Ahmad sudah didakwa di mahkamah kerana memberikan maklumat palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selain turut didakwa bersabit tuduhan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) selepas menerima sebanyak RM2 juta daripada bekas PM Datuk Seri Najib Razak.

“Beliau bakal menjalani perbicaraan di mahkamah mulai 7 Jun 2022. Adalah lebih baik segala kudrat, masa dan tenaga beliau ditumpukan untuk menjawab pertuduhan tersebut kelak.

“Atas sebab tersebut, adalah lebih baik untuk beliau tidak dipertanggungjawabkan dengan bebanan tugas sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat,” ujarnya lagi.

Tegasnya, semua MP tidak boleh membiarkan pimpinan yang tidak bersih untuk mencalarkan nama baik institusi tersebut.

Pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri menamakan Ahmad sebagai calon baharu Timbalan Speaker sebagai menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletak jawatan sebelum ini.

Tiada ulasan: