HALAMAN SANTAI

Isnin, 13 September 2021

PH umum pelantikan baharu jawatan penting parti

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) hari ini mengumumkan pelantikan baharu beberapa jawatan penting parti itu sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pelantikan baharu itu dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Presiden PH membabitkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Menerusi mesyuarat itu, PH bersetuju melantik Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai Ketua Setiausaha PH manakala Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub diangkat sebagai Pengarah Strategi PH.

Ketua Pemuda DAP, Howard Lee Chuan How pula dilantik sebagai Ketua Pemuda PH manakala Ketua Wanita AMANAH, Aiman Athirah dipilih sebagai Ketua Wanita PH.

Sementara itu, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke memegang jawatan Penyelaras Ketua Whip Ahli Parlimen PH dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dilantik sebagai Pengarah Komunikasi PH.

"Majlis Presiden mengucapkan tahniah dan selamat menjalankan tugas kepada semua yang dilantik. Semoga pelantikan ini akan mengukuhkan lagi gerak kerja PH di Parlimen, lapangan serta menuju PRU-15," kata kenyataan bersama itu, hari ini.

Tiada ulasan: