HARAKAH DAILY
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail
Sabri Yaakob menyeru semua Ahli Parlimen tanpa mengira pandangan politik
untuk bersama-sama merapatkan saf demi memulihkan negara dan
mensejahterakan semula kehidupan rakyat.
Beliau berkata ia
selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah
Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pembukaan Penggal
Keempat Parlimen ke-14 hari ini, yang meminta semua pihak hendaklah
mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada
apa jua permasalahan.
“Menjunjung titah Tuanku, inilah semangat yang dibawa dalam Keluarga Malaysia yang menekankan perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan untuk mengharungi pelbagai cubaan dan dugaan,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Ismail Sabri juga berharap persidangan kali ini dapat berjalan dengan lancar demi kepentingan rakyat dan negara.
Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 adalah pertama di bawah kerajaan pimpinan Ismail Sabri selaku Perdana Menteri Kesembilan.
Persidangan Parlimen bermula hari ini di mana persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 17 hari dan berakhir pada 12 Okt manakala Dewan Negara menyambung persidangan dari 4 hingga 26 Okt depan. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan