HALAMAN SANTAI

Rabu, 15 September 2021

Terima MoU dengan kerajaan, tapi Anwar masih desak undi percaya


Walaupun blok pembangkang, Pakatan Harapan sudah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan semalam, namun Datuk Seri Anwar Ibrahim masih mendesak agar undi percaya dijalankan di Dewan Rakyat.

Desakan Ketua Pembangkang itu menimbulkan persoalan berhubung keikhlasan Pakatan Harapan (PH) yang bersetuju menerima MoU dicadangkan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tetapi masih cuba mempolemikkan isu undi percaya.

“Penegasannya adalah perlu adanya undi percaya dan Raja Nazrin (Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah) menyebut harus menjadi tajuk pertama persidangan Parlimen kali ini.

“Sebab itu bagi kita, kena bermula dengan asas ini, harus ada undi percaya,” kata Anwar di Dewan Rakyat hari ini.

Namun, Anwar berkata isu undi percaya tidak akan menjadi penghalang untuk pembangkang meneruskan kerjasama dengan kerajaan khususnya dalam isu menangani Covid-19.

“(Namun) kita tidak mahu isu keabsahan perdana menteri, membatalkan usaha kerjasama dalam bidang-bidang utama termasuk Covid-19 dan ekonomi. Sebab itulah saya sebut kepada Perdana Menteri, walaupun kita tak setuju dengan keputusan untuk tidak meneruskan undi tidak percaya, kita akan tetap beri kerjasama berbincang mengenai soal MoU,” katanya lagi.

Pembangkang dan kerajaan semalam menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang berlangsung di Parlimen.

MoU berkenaan yang membentuk satu kerjasama ‘dwipartisan’ dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia, mempunyai enam agenda merangkumi pemerkasaan pelan COVID-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

Untuk rekod, tawaran kerjasama tersebut sebelum ini pernah dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum meletak jawatan tetapi ditolak mentah-mentah pembangkang.

Hanya dengan kerajaan baharu diterajui UMNO sahaja Anwar tunduk dan menerima tawaran MoU tersebut, begitu takut beliau kepada UMNO sehingga mengadaikan prinsip perjuangannya sebelum ini.

Tiada ulasan: