HALAMAN SANTAI

Sabtu, 18 September 2021

Wanita PH atur kekuatan untuk gembleng kebangkitan – Aiman

Aiman Athirah Al-Jundi

KUALA LUMPUR – Wanita Pakatan Harapan (PH) akan memberi tumpuan khusus terhadap beberapa perkara dalam konteks pengukuhan peranan organisasi wanita.

Ketuanya yang baharu dilantik, Aiman Athirah Al Jundi berkata, antara peranan bagi mengukuhkan organisasi itu ialah menyusun dan memperkasakan struktur organisasi serta fungsi Majlis Pimpinan Wanita PH di semua peringkat dengan semangat hormat dan kerjasama ikhlas yang erat.

Menurutnya, beliau juga akan memastikan jentera pilihan raya Wanita PH di semua peringkat siap siaga, bermotivasi dan dapat menkonsolidasi kekuatan, sekali gus menggembleng kebangkitan bagi memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, Wanita PH juga akan mencadangkan kepada Majlis Presiden PH untuk memastikan keanggotaan wanita dalam Jawatankuasa Pemandu Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Persekutuan dengan pembangkang, di samping menambah pelaksanaan agenda teras berkaitan wanita sebagai intipati utama MoU.

“Kita juga akan memberi fokus kepada penyediaan Dokumen Agenda Wanita Impian Malaysia sebagai satu Tawaran Pakatan Harapan Untuk Wanita Malaysia dalam PRU-15.

“Selain itu, memperkukuh peranan wanita dalam politik bernegara melalui usaha strategik memposisikan representasi wanita sebagai calon PRU15 PH secara lebih menyeluruh sama ada di kontituensi Parlimen mahupun DUN di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Aiman Athirah yang juga Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) berkata, pelantikannya akan menjadi penguat semangat untuk bersama barisan kepimpinan sayao parti itu terus gigih berbakti dalam mendepani cabaran baharu politik demi rakyat dan negara.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Majlis Presiden PH khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng atas kepercayaan mengamanahkannya bagi menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai Ketua Wanita PH.

“Saya memahami pelantikan ini adalah atas semangat memperkukuhkan kerjasama parti gabungan dalam PH, sekali gus menyatukan kekuatan dan menggembleng kebangkitan khususnya bagi menghadapi PRU ke-15 yang akan datang.

“Tentunya ini satu tanggungjawab besar dan berat serta memerlukan kerjasama dan komitmen semua pihak.

“Saya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada dua rakan sejawatan saya iaitu Chong Eng dan Fuziah Salleh atas kepimpinan dan sokongan mereka, dan ini adalah manifestasi komitmen Wanita PH memperkasa semangat kepimpinan wanita untuk semua,” ujarnya.

Beliau berkata, dengan kerjasama padu khususnya daripada kedua-dua tokoh kepimpinan wanita ini, pihaknya akan bersama-sama memberi nafas baharu dalam perjuangan reformasi politik tanah air.

Katanya, reformasi itu akan dilakukan melalui pembudayaan politik nilai, politik mendidik dan politik khidmat, sekaligus membebaskan Malaysia daripada politik khianat, politik adu domba, politik fitnah serta politik propaganda. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: