HALAMAN SANTAI

Jumaat, 14 Januari 2022

Level menteri pun ‘miscommunication’ – Puad

NAJA
Level menteri pun ‘miscommunication’ – Puad

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi hari ini, menasihati semua pihak untuk membuat kenyataan dengan jelas membabitkan sesuatu isu bagi mengelakkan kekeliruan sekali gus mencetuskan fitnah.

Teguran itu dibuat susulan kekeliruan yang timbul membabitkan dua menteri daripada PAS minggu ini, berkaitan isu vaksinasi lengkap Covid-19.

Mohd Puad berkata, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad telah minta pihak berkuasa siasat bagaimana pendakwah bebas Abu Syafiq boleh membawa jemaah umrah tanpa mengambil vaksin.

“Tetapi Abu Syafiq jelaskan, yang beliau maksudkan bukan vaksin Covid-19 tetapi vaksin Meningococcal Meningitis (buku oren). Kerajaan Saudi tidak lagi mewajibkannya.

“Menurut Abu Syafiq, (Datuk Seri) Tuan Ibrahim Tuan Man (Menteri Alam Sekitar) juga tidak ambil vaksin bila pergi buat umrah,” katanya.

“Bagaimanapun, Tuan Ibrahim yang rasa tercabar menjelaskan, dia sudah ambil vaksin dua kali termasuk vaksin penggalak (booster). Sedangkan yang Abu Shafiq maksudkan ialah vaksin MM.

“Kekeliruan itu melibatkan dua Menteri dari PAS. Sebab itu lain kali cakap biar terang. Ia jadi fitnah dan kelirukan rakyat.

“(Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin) KJ turut keliru. Level Menteri pun miscommunication. Umrah kena tangguh,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, Abu Syafiq menempelak Idris kerana menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan terhadapnya kerana membawa jemaah yang tidak divaksinasi menunaikan umrah.

Abu Syafiq dalam satu hantaran video di laman media sosialnya berkata terdapat juga individu dalam kerajaan yang turut menunaikan ibadah umrah itu namun tidak mendapatkan vaksin terbabit.

Tegasnya, Idris seharusnya menyiasat Tuan Ibrahim terlebih dahulu sebelum meminta pihak berkuasa bertindak terhadap dirinya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: