HALAMAN SANTAI

Ahad, 16 Januari 2022

Pemecatan Takiri akan teruskan akrab kami, kata Tantawi

Rakan rapat Datuk Dr Mohd Khairudin Aman Razali berkata, pemecatan beliau dari Jawatankuasa Pas Pusat tidak menjejaskan persabahatan mereka bahkan terus akrab.

AJK Pas Pusat, Nasrudin Hassan dalam tulisan panjang di facebook beliau juga berkata, sebagaimana Khairudin, beliau akan terus mempertahankan kerjasama Pas dengan Umno demi perpaduan ummah, isu yang dipercayai menjadi punca pemecatan Khairudin dan perselisihan dalam Pas sekarang.

“…keputusan Pas Pusat itu satu hal. Persahabatan saya dengan Takiri suatu hal yang lain. Bukan sahaja tidak terjejas bahkan persahabatan kami terus akrab dan baik seperti biasa,” kata Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiyah (Yadim), seorang agensi milik kerajaan itu.

Takiri adalah nama timangan untuk Khairudin bagi pemimpin Pas. Ia diambil dari nama kampung beliau, Seberang Takir.

Menurut Tantawi, nama timangan untuk Nasrudin, Takiri sedang dilanda pelbagai fitnah terutama selepas dipecat dari AJK Pas Pusat.

“Malam ini pun masih bertiup angin fitnah pada Takiri kononnya beliau ditawarkan untuk menyertai Umno, Agent Umno, proksi Zahid Hamidi, Takiri nak langgar presiden dan sebagainya,” katanya.

Beliau juga mendakwa, musuh-musuh Takiri sangat gembira dengan pemecatan beliau itu.

“Gembira sungguh mereka dengan penguguran Takiri dari AJK PAS Pusat. Tidak mengapa, ambillah masa untuk bergembira,” katanya.

Bagi beliau, Takiri boleh terus berperanan dalam Pas bahkan jawatan beliau sebagai Setiausaha Majlis Syura sangat besar kuasanya.

“Takiri masih boleh berperanan besar di dalam PAS sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulamak (MSU). Boleh sahaja kita rujuk perlembagaan PAS bagaimana bidang kuasa MSU dan juga setiausahanya.

“Selain itu, Takiri juga seorang Ahli Parlimen yang baik serta aktif dan berperanan mewakili PAS, bukan sahaja di Parlimen bahkan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengesahkan Takiri dipecat sebagai AJK Pas Pusat.

Ia dimaklumkan Hadi kepada wartawan selepas kuliah Jumaat beliau di Masjid Rusila, Marang kelmarin.

Tiada ulasan: