HALAMAN SANTAI

Jumaat, 14 Januari 2022

PRN Johor, PAS tunggu bubar dahulu baharu buat pendirian: Hadi


PAS menunggu sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pendirian berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dikatakan bakal diadakan nanti, kata Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS itu berkata tidak akan membuat sebarang pendirian berhubung spekulasi PRN Johor yang dirancang mahu diadakan UMNO dalam masa terdekat ini, sebaliknya mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

“Tunggu dia bubar (DUN) dulu. (Baru) keputusan akan diambil,” katanya selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila, Marang, hari ini menurut laporan Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Hadi berkata sekiranya PRN tetap diadakan PAS sudah pasti akan mencalonkan calon-calon mereka seperti mana pilihan raya sebelum- sebelum ini.

“PAS akan bertanding. (PRN) Sarawak pun kita bertanding. Johor ni dekat lagi. PAS akan bertanding. Macam mana cara bertanding kita akan lihat dari masa ke semasa,” katanya.

Disoal sejauh mana PAS sudah memulakan perbincangan berhubung situasi politik terkini di Johor, Ahli Parlimen Marang itu berkata pihaknya tidak mengadakan apa-apa perbincangan kerana perkara itu hanya sekadar khabar angin.

“Sehingga ini kita tak bincangkan kerana benda belum berlaku. Hanya khabar angin,” katanya lagi.

Pada 25 Dis lalu, kerajaan Johor yang diketuai UMNO memaklumkan akan memantau keadaan semasa termasuk keperluan untuk mengadakan PRN berikutan hanya mempunyai kelebihan satu kerusi di DUN.

Desas-desus pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada PRN Johor dalam masa terdekat semakin hangat diperkatakan sejak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga bekas Menteri Besar, meninggal dunia pada 21 Disember lalu.

Pelbagai spekulasi, termasuk dakwaan seorang ADUN dari blok kerajaan bakal menjadi wakil rakyat Bebas bagi memberi laluan kepada PRN juga bertiup kencang.

Namun Ahad lalu, ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang yang juga Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, menafikan khabar angin bahawa beliau individu yang dikaitkan dengan dakwaan itu.

DUN Johor mempunyai 56 kerusi dengan agihan terkini adalah UMNO dan DAP masing-masing menyandang 14 kerusi, Bersatu (11), MIC (2), PAS (1), Amanah (6) dan PKR (7).

Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi pembangkang berikutan kematian ADUN Kempas.

Tiada ulasan: