HALAMAN SANTAI

Jumaat, 14 Januari 2022

UMNO akan ‘tumbangkan’ kerajaan Johor, buka jalan kepada PRN


Tidak berlaku sebagaimana pengkhianatan pada peringkat Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Melaka tahun lalu, UMNO sendiri akan meminta Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan atas alasan kelebihan satu kerusi adalah kedudukan bahaya.

Ini bermakna parti itu yang memimpin kerajaan negeri sekarang menerusi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar bersedia mendapatkan perkenan Sultan Johor bagi membubarkan DUN.

Keadaan itu berbeza dengan tumbangnya Kerajaan Pusat susulan pengkhianatan 15 Ahli Parlimen UMNO diketuai Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menarik sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ia juga tidak sama dengan pengkhianatan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan seorang ADUN Bersatu yang menarik sokongan terhadap kepemimpinan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, sehingga Kerajaan Melaka tumbang.

Kini Kerajaan Johor akan ‘ditumbangkan’ pula oleh UMNO sendiri kerana berasa diri kuat, tetapi terancam disebabkan jumlah kerusi DUN yang dimiliki parti itu.

Kerajaan Johor pimpinan UMNO yang disokong Bersatu dan PAS, kini memiliki kelebihan satu kerusi, susulan kematian ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian, 21 Disember lalu.

Berdasarkan laman sesawang DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi, dengan UMNO menguasai 14 kerusi; Bersatu (11); MIC (dua); dan PAS (satu), sementara pembangkang dibarisi DAP dengan 14 kerusi; Amanah (sembilan) dan PKR (empat).

Ini bermakna, kerajaan gabungan Barisan Nasional (BN) dan PN kini memiliki 28 kerusi DUN, manakala pembangkang pula 27 kerusi.

Beberapa hari lalu, khabar angin mendakwa ADUN Puteri Wangsa daripada Bersatu, Mazlan Bujang yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri akan keluar daripada parti itu dan menjadi ADUN Bebas, sekali gus akan menyebabkan kedudukan kerusi DUN terikat 27-27 antara kerajaan dan pembangkang.

Bagaimanapun, Ketua Bahagian Bersatu Tebrau itu menafikan akan bertindak demikian kerana walaupun mempunyai kelebihan satu kerusi, pentadbiran kerajaan negeri adalah stabil.

Khabar angin mengatakan Johor bakal menghadapi PRN dalam waktu terdekat semakin kedengaran selepas Hasni pada 25 Disember lalu berkata kerajaan yang ada sekarang bertambah tidak stabil susulan kematian Osman.

Bagaimanapun, sumber Agenda Daily di Johor memberitahu tidak ada mana-mana ADUN daripada PN sekarang ini yang akan khianat kepada kerajaan negeri, sebaliknya berusaha memberi perkhidmatan terbaik menjaga kebajikan rakyat negeri itu dalam keadaan pandemik Covid-19 sekarang.

Pada masa sama Pakatan Harapan (PH) juga turut memberi sokongan kepada Hasni dan menolak diadakan PRN.

Ini terbukti apabila semua ADUN PH memberi sokongan kepada Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor (Pindaan) 2021 untuk menurunkan had umur minimum calon pilihan raya bagi kerusi DUN daripada 21 tahun kepada 18 tahun, pada 6 Januari lalu.

Tatkala pandemik Covid-19 terus menular selain kemunculan varian yang paling pantas menjangkiti, Omicron, UMNO sahaja yang beria-ia untuk menyusahkan rakyat jelata dengan rancangan ‘PRN Johor’, tanpa melihat keadaan jangkitan virus itu.

Sejak 1 Januari hingga semalam, Johor merekodkan 4,670 jangkitan baharu dengan purata kes harian antara 300 dan 400 kes, dan menjadi negeri kedua tertinggi selepas Selangor mencatat kes kematian akibat Covid-19 dengan 3,889 kes.

Sehingga semalam, Johor merekodkan 249,610 kes positif terkumpul, dengan 239,162 pesakit telah sembuh, dan 6,559 lagi kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 5,838 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 203 ditempatkan di PKRC; 502 dimasukkan ke hospital; dan 16 dirawat di unit rawatan rapi dengan 11 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Jika benar UMNO sedang merancang menghadap Sultan Johor bagi memohon perkenan membubarkan DUN, ini sekali gus menunjukkan parti itu tidak mempedulikan nasib dan keselamatan rakyat, sebaliknya hanya mementingkan kuasa dan kedudukan.

Tiada ulasan: