HALAMAN SANTAI

Jumaat, 14 Januari 2022

Warisan seru komuniti Borneo di Semenanjung tukar alamat untuk PRU15

Bernama
Warisan seru komuniti Borneo di Semenanjung tukar alamat untuk PRU15
Naib Presiden Warisan Datuk Junz Wong berkata seruan berkenaan khusus kepada mereka yang sudah menetap lama di Semenanjung dan tidak berhasrat pulang ke kampung halaman untuk mengundi. - Gambar fail/BERNAMA
 
JOHOR BAHRU: Parti Warisan Sabah (Warisan) menyeru 250,000 komuniti Borneo yang menetap di Semenanjung supaya menukar alamat tempat mengundi berdasarkan tempat bermastautin terkini menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
 
Naib Presiden Warisan Datuk Junz Wong berkata seruan berkenaan khusus kepada mereka yang sudah menetap lama di Semenanjung dan tidak berhasrat pulang ke kampung halaman untuk mengundi.
 
Beliau berkata terdapat komuniti Borneo yang besar di beberapa negeri seperti di Johor, Selangor serta Pulau Pinang dan ini selaras dengan perluasan cawangan parti berkenaan yang turut berada di Semenanjung. 
 
"Kita akui Warisan punya kelebihan di negeri-negeri yang mempunyai komuniti masyarakat Borneo khususnya Sabah kerana mereka tahu perjuangan dibawa Warisan.
 
"Sehubungan itu, kita akan cuba mengajak mereka menukar alamat tempat pengundian mereka, khususnya yang sudah lama menetap di Semenanjung dan tidak berhasrat pulang mengundi," katanya kepada pemberita selepas menerima borang keahlian bekas Naib Ketua Wanita Gerakan Persekutuan dan Ketua Wanita Gerakan Johor Wong Siew Poh bersama penyokongnya di Stulang Laut di sini hari ini.

Menurutnya, Warisan ketika ini sudah mempunyai 85 cawangan di Semenanjung melibatkan lima negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Perak dan Johor.
 
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Aru itu berkata pihaknya akan mempertimbangkan untuk meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekiranya diadakan.
 
"Buat masa ini, kita sedang mendapatkan respons daripada masyarakat akar umbi jika terdapat permintaan itu signal jelas kepada Warisan untuk terlibat sama, namun keputusan akhir berhubung perkara itu tertakluk kepada kepimpinan parti," katanya dengan menambah pihaknya juga menerima beberapa permohonan daripada ahli parti politik lain untuk menyertai parti itu.-- BERNAMA

Tiada ulasan: