HALAMAN SANTAI

Khamis, 13 September 2007

Selangor tinggi sumbang mahram !

Selangor paling tinggi kes sumbang mahram

KUALA LUMPUR: Selangor mencatatkan jumlah kes sumbang mahram yang paling tinggi dengan sebanyak 247 kes dilaporkan bagi tempoh lima tahun iaitu dari 2002 hingga Jun 2007, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Fu Ah Kiow berkata daripada jumlah itu, 27 kes dilaporkan sejak Januari hingga Jun tahun ini.

Di samping itu, 47 kes dilaporkan pada 2002, 35 kes (2003), 40 kes (2004), 41 kes (2005) dan 57 kes (2006), katanya ketika menjawab soalan Eric Enchin Majimbun (BN-Sepanggar) di persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Selain Selangor, Johor dan Sabah turut merekodkan jumlah kes sumbang mahram yang tinggi dengan masing-masing 245 kes dan 204 kes dalam tempoh yang sama, katanya.

Fu berkata secara keseluruhan bagi 2002 hingga Jun tahun ini, sejumlah 1,698 kes sumbang mahram dilaporkan di seluruh negara dengan 306 kes dilaporkan pada 2002, 254 kes (2003), 335 kes (2004), 294 kes (2005) dan 332 kes (2006) serta 177 kes bagi tempoh Januari-Jun tahun ini.

Beliau berkata antara sebab berlakunya jenayah sumbang mahram ialah mangsa jenayah kurang berpengetahuan tentang jenayah itu dan hak yang diperuntukkan dalam undang-undang bagi melindungi mangsa.

"Kebanyakannya tidak tahu bahawa perlakuan jenayah seks terhadap mereka oleh ahli keluarga adalah salah di sisi undang-undang atau mangsa takut untuk mendedahkan kejadian kerana pelaku jenayah terdiri daripada anggota keluarga," katanya.

Fu berkata antara langkah yang diambil bagi menangani masalah itu termasuk mengadakan kempen pencegahan dan kesedaran yang memberi penekanan kepada orang ramai supaya lebih peka terhadap keselamatan anak-anak mereka.

"Kerajaan juga sentiasa memberi maklumat melalui ceramah, seminar, bengkel atau pameran di peringkat sekolah bertujuan memberi kesedaran tentang cara-cara mengelak diri daripada menjadi mangsa," katanya.

Langkah lain ialah menyediakan kemudahan bagi orang awam menghubungi polis untuk membuat aduan berhubung jenayah seksual dan mewujudkan pegawai perhubungan sekolah daripada kalangan anggota polis supaya segala maklumat perlakuan jenayah melibatkan pelajar sebagai mangsa dapat disalurkan kepada pegawai berkenaan. BERNAMA

Tiada ulasan: