HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Disember 2007

RM15 Juta Sehari Beli Rokok.


KUALA LUMPUR - Tiga juta rakyat Malaysia membelanjakan kira-kira RM15 juta sehari bagi membeli rokok, kata Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan, Datuk Lee Kah Choon. Beliau berkata, angka yang dibelanjakan itu dijangka terus meningkat berikutan semakin ramai remaja mula merokok.

Mengikut statistik Bahagian Kawalan Penyakit kementerian itu, jumlah perokok di Malaysia diramal meningkat kepada 3.8 juta orang pada tahun 2015 dan lebih empat juta menjelang 2020.

Menurutnya, peningkatan jumlah perokok it menyebabkan lebih 10,000 kes kematian di kalangan perokok direkodkan setiap tahun.

"Mereka yang meninggal dunia menyebabkan keluarga kehilangan punca pendapatan sementara yang berpenyakit kronik seperti strok akan terus melibatkan kos rawatan yang tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Infoline Berhenti Merokok, Kementerian Kesihatan di Klinik Tanglin, di sini hari ini.

Kah Choon berkata, kos yang tinggi untuk rawatan itu bukan sahaja ditanggung oleh keluarga malahan turut melibatkan perbelanjaan kementerian.

"Inilah sebabnya kerajaan sentiasa menumpukan perhatian terhadap tabiat merokok dengan melancarkan pelbagai program untuk kanak-kanak dengan kerjasama Kementerian Pelajaran, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi-agensi kerajaan;" jelasnya.

Menurut beliau, tabiat merokok perlu dibendung dari peringkat kanak-kanak kerana statistik mendapati lebih 90 peratus daripada mereka yang ketagih merokok, akan kekal menjadi perokok sepanjang hayat.

Menurut Infoline Berhenti Merokok, beliau berkata, sehingga September lalu, hanya 373 pemanggil menggunakan talian itu.

Daripada jumlah itu, katanya, 238 adalah pemanggil Melayu (63.8%), 109 Cina (29.2%) dan 19 pemanggil India (5.1%) dan selebihnya kaum lain.

"Pada masa akan datang, saya yakin jumlah pemanggil akan bertambah dan menjadi satu perkhidmatan kekal di 300 klinik kerajaan," katanya.

Menyentuh tentang larangan merokok di restoran-restoran, beliau berkata, mengikut statistik, pelanggan tidak akan berkurangan sekiranya sesebuah restoran itu melarang pelanggannya merokok.

Menurutnya, apa yang penting, peniaga perlu menukar cara berfikir bahawa restoran yang melarang perbuatan merokok sebenarnya menggalakkan lebih ramai pelanggan datang bersama anggota keluarga mereka.

Tiada ulasan: