HALAMAN SANTAI

Khamis, 17 Januari 2008

Dakwaan negara bankrap jika harga minyak kekal tidak disertai fakta – Salahuddin.
Nyza Ayob.


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub percaya tindakan kerajaan yang langsung tidak menyentuh perolehan kerajaan selepas mendakwa kerajaan akan bankrup jika harga petrol tidak dinaikkan merupakan taktik untuk menimbulkan ketakutan kepada rakyat bahawa Malaysia akan mengalami keadaan bankrup seperti yang dialami Argentina dan Indonesia sewaktu kegawatan ekonomi 10 tahun dahulu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Kewangan II, Tan Sri Noor Mohamed Yaakub yang mengesahkan dakwaan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan menanggung kos subsidi bahan api berjumlah RM35 billion ekoran kenaikan harga minyak mentah mencecah US$100 setong.

Jelas Salahuddin kenyataan tersebut tidak disertai fakta sebenar yang bertujuan untuk membentuk pemikiran rakyat supaya menerima kenaikan harga petrol yang akan berlaku dalam masa terdekat jika tidak mahu Malaysia bankrup.

Sungguhpun tidak menafikan hakikat bahawa kerajaan terpaksa menanggung subsidi sebanyak RM35 billion, bagaimanapun jelas Salahuddin ia mesti dinyatakan mengikut fakta sebenar.

Salahuddin dalam kenyataannya kepada Harakahdaily menegaskan ketika kerajaan mendakwa subsidi sebanyak RM13 billion untuk menaikkan harga pertrol dua tahun lepas hanya RM6 billion sebagai subsidi dan RM7 billion adalah pengecualian cukai. Tambahnya jika pengecualian cukai masih lagi kekal RM7 billion, bermakna subsidi hanya RM28 billion sahaja.

Selain itu katanya, di sebalik peningkatan subsidi, Petronas sebagai syarikat yang diberi hak untuk menguasai industri ptroleum telah mencatat keuntungan kasar sebanyak RM76.3 billion pada tahun lepas ekoran kenaikan harga minyak.

Jelasnya ketika harga minyak dunia mencecah US70 setong, Petronas telah mengaut keuntungan sebanyak RM70 billion, jika harga mencecah US$100 setong, sudah tentu keuntungan telah meningkat dua kali ganda.

Katanya dengan keuntungan sebanyak RM76.3 billion pada tahun lepas, Petronas telah membayar sebanyak RM48.3 bilion kepada kerajaan dalam bentuk cukai, dividen, royalti dan duti eksport.

Tambahnya lagi, laporan Ekonomi oleh Perbendaharaan pada 2007 telah menyebutkan bahawa kerajaan memperoleh sebanyak RM25.08 bilion hasil daripada cukai langsung dan duti eksport petroleum.

Sehubungan itu katanya, berdasarkan data tersebut, menunjukkan bahawa kerajaan telah mendapat keuntungan berlipat ganda sama ada atas nama bayaran oleh Petronas kepada kerajaan atau atas nama Petronas sendiri sebagai syarikat milik kerajaan.

Katanya lagi, Pengumuman Petronas mengenai peningkatan keuntungan lima peratus hasil dagangannya itu menunjukkan kerajaan tidak terjejas akibat kenaikan harga bahan api dunia, sebaliknya mendapat keuntungan yang lebih besar.

"Oleh sebab itu, mereka mula mencanang beban-beban kewangan kerajaan sehingga boleh memaksa rakyat menerima hakikat harga minyak terpaksa dinaikkan.

"Kami berasa jijik dengan pendekatan politik murahan untuk menambahkan beban hidup rakyat sedangkan pemimpin BN hidup mewah. Ketika rakyat dibebankan dengan siri kenaikan harga barang, yuran sekolah dan kemungkinan kenaikan tambang kenderaan, tetapi pemimpin BN terus didedahkan terlibat dengan pelbagai skandal, penyelewengan dan salah laku yang menjahanamkan ekonomi negara," katanya.

Tambahan pula katanya, menurut sumber syarikat petroleum, pada masa ini Petronas telah meningkatkan pengeluaran minyak untuk mengambil kesempatan daripada peningkatan harga tersebut.

Salahuddin juga tidak menolak kemungkinan kerajaan ingin menaikkan harga petrol dalam waktu terdekat ini, tetapi tersebit dengan tarikh pilihan raya yang telah diumumkan oleh Pengerusi SPR. - mns

Tiada ulasan: