Musa suruh anggota polis baca akhbar setiap hari.
KUALA LUMPUR: Semua anggota polis termasuk pegawai dinasihatkan agar membaca suratkhabar setiap hari supaya mereka sentiasa peka dengan perkembangan terkini dan mengetahui tentang isu semasa yang berlaku.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sofian Md Yassin berkata nasihat tersebut disampaikan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan ketika mengadakan lawatan rutin untuk bertemu pegawai kanan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini Isnin.
Katanya dalam lawatan hampir dua jam itu, Musa turut mengingatkan anggotanya supaya tidak terlibat dengan kes rasuah atau menyalahgunakan kuasa sebagai anggota pasukan keselamatan yang berwibawa.
"Beliau juga mahu supaya polis mempertingkatkan hubungan erat dengan masyarakat dan lebih agresif mengadakan apa juga program yang melibatkan polis dan komuniti setempat," kata Ahmad Sofian kepada pemberita di sini.
Dalam usaha menyelesaikan sesuatu kes jenayah, beliau berkata polis memerlukan kerjasama yang baik daripada masyarakat khususnya dari aspek penyaluran maklumat.
"Hubungan yang erat dengan masyarakat setempat boleh meningkatkan kepercayaan orang awam dan ini dapat membantu pihak berkuasa melakukan kerja dengan lebih efektif," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata operasi mencari kanak-kanak hilang, Sharlinie Mohd Nashar, 5, dari rumah ke rumah seperti yang diarahkan oleh Musa berjalan dengan lancar.
"Sebagai jiran kepada daerah Petaling Jaya, operasi yang telah bermula sejak beberapa hari lalu di daerah ini (Sentul) akan digiatkan dan setakat ini, kekuatan anggota adalah mencukupi. Usaha mencari akan berterusan sehingga kanak-kanak itu dijumpai," katanya.
Selepas 10 hari kanak-kanak itu dilaporkan hilang, Ketua Polis Negara telah mengeluarkan arahan kepada semua Ketua Polis Daerah supaya gerakan mencarinya dilakukan dari rumah ke rumah dengan serta merta.
Sharlinie yang akan berusia genap enam tahun pada 30 Jan ini hilang, dipercayai diculik 13 hari lalu ketika bermain di Taman Kanak-kanak Taman Medan, di Petaling Jaya, yang terletak 200 meter dari rumahnya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan