HALAMAN SANTAI

Rabu, 16 Januari 2008

PM tetap rahsiakan tarikh pilihan raya.



MADRID: Ura-ura semakin kencang bahawa pilihan raya umum ke-12 sudah hampir tetapi Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi masih membisu mengenai tarikhnya.

Perdana Menteri berkata pilihan raya itu boleh diadakan sekarang atau pada Mac nanti dan mungkin Mac tahun depan.

"Semua orang tak sabar, nak sangat election," katanya kepada pemberita di sini selepas mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) Prof Ekmelleddin Ihsanoglu.

Abdullah, yang pengerusi OIC, akan menyerahkan jawatan itu kepada Senegal pada Mac nanti.

Abdullah berkata Barisan Nasional sudah siap sedia menghadapi pilihan raya kali ini selepas mencapai kemenangan besar pada pilihan raya yang lepas pada 2004.

Setakat ini beliau enggan mengesahkan spekulasi oleh beberapa pemimpin pembangkang dan juga pemerhati bahawa pilihan raya akan diadakan lebih awal walaupun mandat kerajaan sekarang akan berakhir pertengahan Mac tahun depan.

"Kita kena buat persiapan. Kita masih ada satu tahun untuk melengkapkan mandat," katanya.

Terdapat ura-ura bahawa pilihan raya akan diadakan pada Mac ini berdasarkan kepada faktor positif seperti pasaran saham yang meningkat sehingga Indeks Komposit ditutup melepasi 1,516 mata pada Jumaat lepas.

Abdullah sebelum ini menyifatkan peningkatan itu sebagai satu keyakinan terhadap pasaran tempatan dan bahawa ekonomi negara sedang berkembang baik. BERNAMA

Tiada ulasan: