Halaman

Khamis, 14 Februari 2008

Abdullah tidak boleh lagi dipercayai rakyat – Husam
Mazlan Jusoh


KOTA BHARU (Hrkh) - Perdana Menteri dianggap sengaja mahu menghakiskan kepercayaan rakyat terhadap dirinya apabila berbohong mengenai tarikh sebenar pembubaran Parlimen.

Ini kerana semalam Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat kenyataan menafikan desas desus mengatakan Parlimen akan dibubar hari ini.

Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa berkata, sikap yang ditunjukkan Perdana Menteri dalam isu ini nampaknya kurang baik untuk masyarakat Malaysia .

Katanya, pembubaran Parlimen adalah perkara yang besar kerana ia urusan negara.
"Secara lojik Perdana Menteri harus jujur dan tidak memberi kenyataan yang boleh menghilang kepercayaan masyarakat kepada beliau sendiri.

"Ini kerana semalam beliau memberitahu tidak ada membubarkan Parlimen, sedangkan hari ini beliau membubarkan pula Parlimen. Beliau seharusnya bercakap secara jujur ini kerana ini perkara yang penting," katanya pada persidangan media di pejabatnya di sini, hari ini.

Perdana Menteri tengahari tadi mengumumkan pembubaran Parlimen yang berkuatkuasa hari ini selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong pagi tadi boleh membolehkan pilihan raya umum ke-12 diadakan dalam tempoh 60 hari selepas dibubar.

Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri bagaimanapun berkata, PAS sebenarnya sudah menjangka hari ini adalah tarikh pembubaran Parlimen.

"Dan Alhamdulilah 100 peratus tepat seperti apa yang kita jangkakan. Sedangkan semalam beliau menafikan untuk membubarkan parlimen hari ini.

"Bagi pihak PAS saya melihat pembubaran hari ini kerana lebih terdesak di atas beberapa faktor termasuk masalah ekonomi antarabangsa, isu tempatan dan kehadiran Dato' Seri Anwar Ibrahim.

"Pada pendapat kami juga pihak BN Kelantan belum bersedia sepenuhnya. Saya jangka penetapan tarikh ini boleh memberi satu power point kepada pembangkang,"ujarnya.

Menurutnya, tahap pertama PAS dan pembangkang menerima pengharapan masyarakat buat pertama kalinya, di mana orang Melayu, Cina dan India sudah bersatu padu dan mereka mengharapkan satu perubahan. - mj/mks.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.