Ambil tindakan dulu kepada calon BN yang belanja RM4 juta
SEREMBAN . – Langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memperkenalkan garis panduan baru dilihat sebagai tidak bermakna memandangkan ia gagal bertindak terhadap parti-parti politik yang melanggar undang- undang berkaitan dengan pilihan raya dalam pilihan raya terdahulu.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, SPR gagal bertindak apabila parti komponen Barisan Nasional (BN) melanggar undang-undang tersebut, yang secara tidak langsung mempermain-mainkan proses pilihan raya itu sendiri.
“Walaupun calon untuk kawasan Parlimen hanya dibenarkan menggunakan kurang daripada RM200,000 peruntukan yang disediakan tetapi ada juga kes calon BN membelanjakan sebanyak 10 atau 20 kali ganda daripada jumlah itu,” kata beliau kepada pemberita selepas membuka bilik gerakan pilihan raya DAP Rasah di Mambau di sini hari ini.
Berbeza dengan DAP, kata Guan Eng, calon-calonnya dikatakan hanya membelanjakan tiga bahagian daripada peruntukan yang disediakan ketika berkempen.
Guan Eng berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan SPR untuk mengehadkan penggunaan bilangan poster atau bendera yang dipasang di setiap daerah pada pilihan raya umum akan datang bagi memberi keadilan kepada semua parti ketika berkempen.
Menurut beliau lagi, kegagalan SPR bertindak secara adil menjadikan banyak parti pembangkang kurang berpuas hati dengannya.
“Undang-undang tidak dijalankan dengan sama rata. Selagi SPR tidak bebas, tidak mungkin ada pilihan raya yang adil dan bebas,” kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.