Beberapa calon di Selangor gagal lepasi semakan BPR
SHAH ALAM: Sebahagian daripada 200 bakal calon Barisan Nasional (BN) Selangor gagal melepasi proses semakan Badan Pencegah Rasuah, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo hari ini.
Beliau berkata BN negeri mengemukakan senarai calon kepada BPR terlebih dahulu untuk semakan sebelum menghantarnya kepada polis, Jabatan Insolvensi Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk tujuan serupa.
"Ada beberapa nama tetapi kami mencapai persetujuan dengan BPR untuk merahsiakannya.
"Kami tidak boleh (membiarkan sesiapa) membuat spekulasi... apabila anda menuding jari kepada seseorang, maka anda akan hadapi masalah. Namun jumlahnya tidaklah banyak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan jabatan dan agensi kerajaan di sini.
Ditanya sama ada itu bermakna terdapat kalangan mereka yang tidak "bersih", Dr Mohamad Khir berkata mereka yang tidak terpilih, mungkin menghadapi masalah terutamanya yang namanya disenaraipendek buat kali pertama sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri atau Parlimen.
"Kita akan hantar semakan pada polis... mungkin ada yang tak bayar saman trafik dan sebagainya," katanya.
"Langkah ini diambil bagi memastikan calon BN bersih daripada rasuah, jenayah, muflis selain memastikan mereka menjelaskan cukai pendapatan," katanya.
Terdahulu semasa berucap, Dr Mohamad Khir berkata kerajaan negeri merancang dengan rapi strategi ekonominya agar rakyat tidak terjejas oleh inflasi atau kenaikan harga barang keperluan, dengan membenarkan lebih banyak pasar raya hiper beroperasi di negeri ini.
Dengan membenarkan lebih banyak pasar raya hiper seperti Giant, Tesco dan Carrefour, pengguna akan memperoleh manfaat memandangkan wujudnya perang harga antara pasar raya hiper bagi menarik pelanggan, katanya.
Di samping itu, kata Dr Mohamad Khir industri desa atau usahawan kecil dan sederhana di negeri ini akan turut mendapat manfaat kerana mereka boleh memasarkan produk seperti kerepek ubi di pasar raya hiper terbabit.
"Siapa sangka ada pengusaha kerepek yang mendapat pulangan RM500,000 sebulan dan kini ada pengusaha pau di Sabak Bernam yang pendapatannya antara RM60,000 ke RM70,000 sebulan," kata Dr Mohamad Khir. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.