Halaman

Sabtu, 9 Februari 2008

Dua konstabel cedera dirempuh pelumba haram



IPOH: Dua konstabel polis cedera apabila dirempuh dua penunggang motosikal yang cuba melarikan diri daripada satu sekatan jalan di Jalan Kuala Kangsar di sini awal pagi ini.

Kedua-dua anggota polis yang berusia 30an itu cedera di kaki dan tangan dan telah dimasukkan ke Hospital Ipoh untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Supt Ibrahim Abu Bakar berkata kedua-dua anggota polis berkenaan hanya cedera ringan dan keadaan mereka adalah stabil.

Beliau berkata keduadua penunggang motosikal terbabit diberkas di tempat kejadian selepas mereka terjatuh.

"Turut ditahan dalam operasi yang dijalankan bagi membanteras kegiatan lumba haram Mat Rempit itu ialah 62 yang lain termasuk lima wanita," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

"Mereka yang ditahan berusia antara 16 hingga 28 tahun", katanya.

Ibrahim berkata hasil pemeriksaan, 18 daripada mereka didapati tidak memiliki lesen memandu manakala kesalahan lain yang dikesan ialah tiada cukai jalan, mengubah suai kenderaan dan mempunyai saman trafik yang belum dijelaskan.

Operasi yang bermula pada pukul 2.45 pagi tadi melibatkan 147 orang anggota polis, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Rela.

Ibrahim berkata dua penunggang yang merempuh polis itu boleh didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan kepada penjawat awam yang menjalankan tugas dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya. BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.