Hishammuddin diarah bincang pembukaan semula SRJKC Damansara
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan meminta Menteri Pendidikan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein membincangkan permintaan daripada masyarakat Cina supaya dibuka semula sekolah rendah Cina Damansara.
Hishammuddin akan membincangkan perkara itu dengan Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting dan pemangku Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, katanya kepada pemberita di Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Gerakan Khamis.
Perdana Menteri berkata isu sekolah itu dibangkitkan semasa beliau mengadakan perjumpaan dengan wakil masyarakat Cina di pejabatnya baru-baru ini.
Sekolah itu ditutup pada 2001 dan sebuah sekolah baru dibina di Tropicana, juga di Damansara. Antara sebab yang diberikan bagi penutupan sekolah itu ialah kawasan itu terlalu sesak, Penutupannya menimbulkan bantahan masyarakat dan ibu bapa Cina di kawasan itu.
Sejak itu terdapat banyak permintaan daripada masyarakat Cina kepada kerajaan supaya sekolah berkenaan dibuka semula memandangkan bangunannya masih wujud di situ.
Abdullah berkata beliau sedar bahawa sebuah sekolah baru telah dibina untuk menggantikan bangunan lama itu tetapi majoriti ibu bapa membantah perpindahan itu.
"Saya telah diberitahu bahawa kemasukan murid di sekolah baru berkenaan telah meningkat dan isu mahukan sekolah lama itu dibuka semula, merupakan sesuatu yang saya akan minta Menteri Pendidikan untuk membincangkannya, dengan Ong dan Koh," katanya.
Mengenai permintaan wakil masyrakat Cina bagi kerajaan menaiktaraf New Era College dan Southern College menjadi universiti, Perdana Menteri berkata: "Naiktaraf tidak akan dilakukan tetapi mereka mungkin menimbangkan untuk mewujudkan rangkaian hubungan dengan institusi pengajian tinggi yang lain."
Koh berkata permintaan untuk membuka semula sekolah rendah Cina di Damansara itu adalah bagi memenuhi keperluan masyarakat tempatan.
"Saya akan membincangkan perkara itu dengan Hishammuddin bersama Ong seperti yang diminta Perdana Menteri," kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu kepada pemberita di Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Dewan Perniaagan Cina Selangor dan Kuala Lumpur di sini. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan