Jika BPR terlibat rasuah, bagaimana tapis calon?
Abdul Halim Mohd Rashid
KUALA LUMPUR (Hrkh) - Jika benar Badan Pencegah Rasuah (BPR) memberikan RM3,000 kepada bekas setiausaha Datuk VK Lingam, L G Jayanthi, tindakan itu mendedahkan badan tersebut kepada tuduhan terlibat memberi rasuah, kata Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu.
"Persoalannya, adakah wang RM3,000 yang diberikan kepada bekas setiausaha Lingam itu bertujuan mengunci mulutnya berikutan tindakan BPR menutup penyiasatan terhadap percutian Lingam dan (bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohd) Eusoff Chin ke New Zealand kerana ia melibatkan pegawai tinggi kerajaan?" kata beliau.
Jika benar BPR merasuahkan Jayanthi, kata Mohamad Sabu lagi, badan itu hilang kelayakan untuk melakukan tapisan ke atas calon-calon Umno dan Barisan Nasional.
"Jika benar BPR merasuahkan merasuahkan bekas setiausaha Lingam, sebarang dakwaan BPR mengenai status calon-calon Umno dan Barisan Nasional tidak boleh dipercayai," katanya..
Jika BPR mendakwa mana-mana calon Umno dan Barisan Nasional bersih dari rasuah dan penyalahgunaan kuasa, kata beliau lagi, ia tidak boleh diterima dan mesti ditolak jika badan itu sendiri terlibat dengan rasuah, katanya.
"Jika benar BPR merasuahkan merasuahkan bekas setiausaha Lingam, mana boleh kaki rasuah membersihkan orang lain dari amalan rasuah?" kata beliau.
Mohamad Sabu menyeru rakyat menolak kesemua calon Umno dan Barisan Nasional dalam pilihan raya akan datang kerana dakwaan mereka sudah ditapis oleh BPR dan polis adalah satu pembohongan yang bertujuan memperbodohkan rakyat.
Beliau juga yakin tidak ada yang percaya BPR akan bertindak tanpa mengamalkan sikap double standard serta bertegas tanpa memilih bulu.
Sebelum ini, katanya, BPR mendakwa bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff atas tuduhan menyalahgunakan kedudukannya dengan menggunakan sebuah pesawat milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meninjau tanah milik syarikatnya di Sabah.
"Bolehkah dipercayai BPR akan melakukan tindakan yang sama ke atas para pemimpin Umno dan Barisan Nasional yang menyalahgunakan harta kerajaan ketika berkempen untuk kepentingan parti mereka?" beliau mempersoalkan.
Mohamad Sabu yakin, BPR tidak akan berbuat demikian kerana ia ternyata tidak berani bertindak menyiasat tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai calon dalam pilihan raya 2004 yang lalu walaupun kelayakannya untuk menjadi calon terus dipersoalkan.
Pengulas politik Datuk Kamal Amir mempersoalkan, apakah status Abdullah kerana pada pilihan raya yang lalu terdapat cakap-cakap bahawa beliau sebenarnya hilang kelayakan sebagai calon kerana tidak mengemukakan laporan kewangan dan perbelanjaan ketika menyertai pilihan raya umum 1999.
"Kenapa SPR tidak menolak kertas pencalonannya? Dan seandainya benar Abdullah gagal mengemukakan laporan tersebut bererti dia telahpun melakukan kesalahan pada musim pilihan raya lalu dan dengan sendirinya untuk kali ini seharusnya dia hilang kelayakan untuk bertanding.
"Sekiranya SPR benar-benar mahu memperlihatkan wibawanya sebagai badan yang bebas, bersih serta telus, persoalan Abdullah Ahmad Badawi sebagai calon harus dinyatakan kedudukannya agar rakyat dapat melihat wibawa SPR benar-benar dipertahankan serta tidak sekadar dijadikan boneka oleh pihak-pihak tertentu," kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan