HALAMAN SANTAI

Sabtu, 9 Februari 2008

JPJ lantik 'mata-mata'
Oleh TOREK SULONG
berita@kosmo.com.my


MACHANG - Pengguna jalan raya kini perlu lebih berhati-hati kerana Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melantik lebih ramai 'mata-mata' bagi memantau pesalah lalu lintas di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata, 'mata-mata' yang dimaksudkannya ialah orang awam yang terdiri daripada penjawat awam Kumpulan A yang dilantik pihaknya.

Ini berikutan langkah jabatan itu memberi kuasa kepada mereka yang memiliki kelulusan setaraf dengan penjawat awam Kumpulan A membuat laporan berkaitan kesalahan lalu lintas.

Menurut Solah, kaedah itu dijangka membantu pihaknya membuat tindakan susulan terhadap pelbagai kesalahan jalan raya sekali gus membendung kemalangan.

Laporan berkaitan kesalahan lalu lintas tersebut boleh dibuat menerusi talian terus 03-88866412 atau menulis e-mel kepadanya sendiri di alamat: http://www.tkpjpj.com.my.

"Aduan mesti disertakan maklumat lengkap termasuk jenis kenderaan, nombor pendaftaran, waktu kejadian, lokasi dan jenis kesalahan yang dilakukan.

"Kemudian pemilik kenderaan dipanggil untuk disoal siasat dan mereka akan diberi tempoh tiga minggu untuk hadir di mana-mana pejabat JPJ berdekatan bagi menyelesaikan dakwaan sebagaimana yang dimaklumkan oleh pelapor," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memantau Ops Sikap XVI di Stesen JPJ Labok, dekat sini malam tadi.

Solah memberitahu, sekiranya pemilik gagal memberi respons, surat saman ingkar perintah akan dikeluarkan dan kenderaan mereka akan disenaraihitamkan daripada membuat sebarang urusan termasuk pembaharuan cukai jalan.

Bagaimanapun, tegasnya, maklumat orang awam seperti ini amat diperlukan oleh pihak JPJ memandangkan kerjasama daripada penjawat awam Kumpulan A sehingga kini masih gagal berfungsi sebagaimana yang diharapkan.

"Jumlah 1,500 penguat kuasa yang ada seluruh negara tidak mampu mengawal jumlah pergerakan 16 juta kenderaan di jalan raya terutamanya sepanjang musim perayaan.

Tiada ulasan: