Halaman

Rabu, 6 Februari 2008

Lelaki didakwa edar 18,000 pil khayal



PUTRAJAYA: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Kajang di sini hari ini terhadap tuduhan mengedar dadah berbentuk 18,000 pil khayal jenis Eramin 5.

Liew Hu Yong, 31, dari Bahau, Negeri Sembilan, didakwa mengedar pil itu di rumah nombor 32A-A, Jalan Lagenda 15, Taman Lagenda Mas, Batu 9, Cheras, di sini pada 11.30 pagi 23 Jan lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta yang sama yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Tiada sebarang pengakuan dibuat oleh Liew yang tidak diwakili peguam.

Majistret Mazuliana Abdul Rashid menetapkan 22 Feb untuk sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Rakan Liew, Chan Wai Kiat, 24, dari Kuantan, Pahang, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan memiliki 25 paket dadah jenis ketamin, juga di tempat, tarikh serta masa yang sama dengan pertuduhan terhadap Liew.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM100,000 atau kedua-dua sekali.

Mazuliana membenarkan Chan dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Nov untuk perbicaraan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asyraf Mohamed Kamal manakala Chan diwakili peguam A. Vasudevan. BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.