Halaman

Isnin, 4 Februari 2008

Mat Taib kembali, Rahman Palil berundur


KETUA Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib merupakan antara nama yang disenaraikan sebagai calon pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Dr. Mohammad Khir Toyo berkata, senarai barisan calon telah siap dan akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi apabila diminta berbuat demikian.

‘‘Akhirnya terpilih atau tidak barisan yang badan perhubungan kemukakan itu adalah keputusan muktamad Perdana Menteri. Setakat ini belum serah lagi.

‘‘Di pihak kita, semua pimpinan peringkat bahagian, ahli jawatankuasa bahagian kita akan kemukakan (sebagai calon) kepada Perdana Menteri,” katanya.

Muhammad yang juga Ketua UMNO Bahagian Kelana Jaya turut hadir ke majlis tersebut.
Muhammad yang ditanya kemudiannya berhubung pencalonan beliau oleh Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata: ‘‘Cukuplah Menteri Besar (Mohamad Khir) dah cakap tadi.”

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil membayangkan dirinya tidak akan bertanding pada pilihan raya umum ke-12.

Abdul Rahman secara terbuka memohon maaf daripada para hadirin yang kebanyakannya penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa sekiranya beliau pernah menyinggung perasaan mana-mana pihak sepanjang menjadi wakil rakyat di kawasan itu sejak 1995.

Beliau juga melahirkan penghargaan, khususnya kepada nazir-nazir dan ketua-ketua kampung yang telah banyak membantunya dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri.

“Khidmat saya sebagai wakil rakyat mungkin tinggal tidak sampai 40 hari lagi.
“Jadi tuan-tuan dan puan-puan, saya minta maaf jika ada salah dan silap atau terkasar bahasa, manalah tahu khidmat saya hanya setakat ini saja,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat Selangor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.