HALAMAN SANTAI

Sabtu, 2 Februari 2008

Melayu Kuala Terengganu diancam nasib seperti Melayu Tanjung Tokong
Abdul Halim Mohd Rashid


SHAH ALAM (Hrkh) - Orang-orang Melayu Kuala Terengganu akan menerima nasib yang sama seperti orang-orang Melayu Tanjung Tokong di Pulau Pinang jika langkah-langkah pencegahan tidak diusahakan bersama.

Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu berkata, perisytiharan Kuala Terengganu sebagai bandaraya yang sepatutnya membawa rahmat dan manfaat kemajuan kepada orang-orang Melayu dibimbangi akan menjadi ancaman kepada mereka.

"Tanah-tanah orang Melayu di Kuala Terengganu semakin banyak yang terlepas, sama ada dijual atau diambilalih oleh kerajaan.

"Jika diambilalih lebih teruk lagi. Bantahan tidak dibenarkan dan hanya boleh merundingkan harga sahaja," kata beliau yang baru kembali dari majlis penerangannya di Kuala Terengganu.

Apabila projek pembangunan dilaksanakan selepas diambilalih, katanya, harganya melambung dengan begitu tinggi mengakibatkan orang-orang Melayu tidak mampu untuk menikmatinya.

"Jangan terkejut jika satu hari nanti orang-orang Melayu Kuala Terengganu akan menerima nasib yang sama seperti orang-orang Melayu Tanjung Tokong.

"Apabila kawasan mereka dimajukan dengan pembangunan yang begitu hebat, orang-orang Melayu Tanjung Tokong terpaksa membawa diri ke kawasan-kawasan luar bandar termasuk di Kedah dan Perak kerana tidak mampu hendak berkongsi nikmat pembangunan itu," katanya lagi.

Menurut Teras Pengupayaan Melayu (Teras), sejak Pulau Pinang menerima "tuah" pembangunan di pulau itu, kesan hakisan masyarakat Melayu sangat ketara sehingga secara statistik, masyarakat Melayu terhakis bukan sahaja dari segi jumlah penduduk Melayu malah dari segi aset tanah-tanah milik Melayu turut terhakis.

Perkara itu, menurut Teras, berlaku di kawasan orang Melayu di sekitar kawasan seperti Tanjung Tokong, Bayan Lepas, Jelutong, Batu Maung, Batu Uban, Bayan Baru, Sungai Nibong, Batu Feringghi, Balik Pulau dan Telok Kumbar.

Jumlah penduduk Melayu menguncup, malah kalau adapun tinggal di rumah-rumah kampung yang terhimpit di tengah-tengah pembangunan. Akibatnya, menurut Teras, orang Melayu 'dipaksa' dan 'terpaksa' meninggalkan tapak mereka.

"Perkara yang sama boleh berlaku ke atas orang-orang Melayu Kuala Terengganu. Projek-projek yang dijalankan oleh kroni-kroni Perdana Menteri termasuk orang yang dipanggil Patrick Badawi tidak pernah mengambilkira kepentingan dan masa hadapan orang-orang Melayu," kata Mohamad Sabu.

Beliau menyeru rakyat Terengganu bangkit beramai-ramai mempertahankan kepentingan dan masa hadapan mereka yang diancam oleh projek-projek yang tidak "mesra Melayu" itu.
"Kalau di Pulau Pinang, penghakisan Melayu tidak menghairankan kerana parti Gerakan yang memerintah di sana. Malangnya, ia juga berlaku di negeri yang diperintah oleh Umno yang kononnya memperjuangkan hak Melayu.

"Orang-orang Melayu Terengganu mesti bangkit beramai-ramai menghentikan pengkhianatan itu. Mereka tidak boleh biarkan Umno melekakan mereka dengan "projek-projek wayang" seperti kampung hadhari tetapi pada masa yang sama kepentingan dan masa hadapan mereka disembelih habis-habisan," tegas beliau.

Tiada ulasan: