Najib perlu bijak dalam membuat janji
Mohd Sayuti Omar
Barang kali tidak semua janji-janji sesuai dilapaz dan dilepas dalam kempen pilihan raya baik secara terbuka maupun secara sulit. Jangan kerana terdesak atau ingin popular untuk menang maka janji diberikan tanpa berfikir panjang dan memikirkan kesannya kepada kepentingan agama, bangsa dan negara.
Mungkin kalau berjanji kepada individu tidak mengapa, kerana ia mudah ditunaikan dan tidak sampai dasar kerajaan perlu dirombak. Tetapi kalau berjanji kepada mana-mana kumpulan apa lagi kumpulan itu ada peranan kecil dan ada hubungan langsung dengan kerajaan ia memaksa dasar yang dipersetujui sebelum ini dipinda.
Berjanji kepada sesuatu kumpulan juga ia boleh menimbulkan kerumitan dan sukar untuk diralatkan. Kalau janji itu tidak ditunai, ia akan menimbulkan masalah. Desakan akan berlaku selepas itu. Desakan bukan secara drastik tetapi berterusan di mana keadaannya akan menjadi seperti duri dalam daging! Pengakhiran kepada desakan itu ialah akan berlaku demonstrasi yang boleh menyusahkan pihak-pihak lain pula.
Kalau kita selidiki dan kaji kenapa berlaku demonstrasi yang sudah menjadi budaya baru negara ini muasir ini ialah kerana sesuatu kaum atau entiti itu mahu kehendak mereka dipenuhi. Ada setengahnya tunjuk perasaan itu dilakukan kerana puak dan entiti itu tidak puas hati apabila hak atau janji kepada mereka tidak dipenuhi.
Langkah Najib Razak berjanji kepada masyarakat India untuk mewujudkan satu polisi baru bagi kepentingan kaum itu semalam (3 Feb) dikira tidak berapa tepat dan bijak.
Janji Najib itu seakan membuka peluang atau lubang kepada kaum India untuk meminta lebih daripada apa sepatutnya. Janji itu seperti tak ubah seperti memberi cek terbuka kepada kaum India. Najib seolah memberi sesutau yang belum diminta!
Mungkin kaum India selama ini tidak terfikir tentang apa yang Najib suarakan itu.
Tetapi setelah Najib membukakannya mereka mulai sedar dan merasa penting. Apakah Najib telah berbincang dengan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi atau mengambil konsesus daripada partinya terlebih dulu sebelum melahirkan cadangan demikian. Atau ianya semata-mata idea atau pandai-pandainya bagi memastikan kaum India menyokongnya untuk mempercepatkan proses beliau menduduki kerusi PM?
Kalau apa yang diucap dan dilapazkan Najib itu telah dipersetujuan Umno dan BN, apa boleh buat. Ia adalah keputusan bersama. Tetapi kalau ianya pandai-pandai Najib ia bakal mengundang risiko besar di masa depan kepada Najib sendiri dan partinya juga ia tentunya juga ia akan 'tersesek' kepada orang Melayu.
Semasa berucap dalam perhimpunan khas yang dihadiri 3,000 ketua-ketua cawangan MIC di Kuala Lumpur itu Najib telah menjelaskan satu polisi baru untuk kaum India akan diumumkan dalam masa terdekat. Bersorak ... ayooo...ketua-ketua MIC itu menyambut pengumuman Najib itu.
Polisi itu bagi menjamin kaum India tidak tercicir dan terbela. Menerusi polisi itu akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada kaum India. Untuk tujuan itu satu pusat latihan kerja akan ditubuhkan khas untuk kaum India. Polisi itu juga menentukan pelajar India akan mendapat biasiswa dan di dalamnya termasuklah mengenai kouta kemasukan kepada India ke sekolah-sekolah berasrama penuh dan lain-lain.
Niat itu baik tetapi kewajarannya boleh dipertikai. Niat Najib itu seperti musafir yang ingin berpuasa sunat di sahara! Semua kaum patut dibantu. Namun cara Najib dan Umno melayani rakannya itu seakan-akan berlebihan pula.
Sebelum ini sudah banyak tuntutan kaum India secara senyap atau understandin telah dipenuhi. Mungkin yang jarang disebut misalnya keizinan kepada kaum itu untuk memperbesar dan membina monumen-monumen tertentu di pusat-pusat ibadah (Kuil) mereka. Walaupun negara ini membenarkan kebebasan beragama, namun sesetengah monumen agama yang diwujudkan oleh kaum India seperti mencabar kesucian Islam Hadhari sendiri.
Tegasnya janji yang diberikan Najib itu cukup merbahaya dan ia bakal menjadi senjata memakan tuan suatu hari nanti. Sekiranya apa yang telah dilapazkan itu tidak akan ditunaikan pasti kaum itu akan mendesak dan menuntut. Tuntutan dan desakan itu akhirnya akan sampai ke jalan-jalan raya yang boleh menimbul dan mencetuskan tragedi tidak baik.
Sepatutnya sebelum berjanji Najib membuat kajian dan analisa kenapa wujudnya Hindu Rights Action Force (Hindraf) yang baru-baru ini berarak sambil membuat kekacauan. Bukankah tuntutan Hindraf itu adalah tuntutan dan aspirasi yang disokong kaum India? Himpunan dan aksi melampau Hindraf itu adalah cerminan keinginan dan hasrat sebahagian besar kaum India negara ini.
Gejala itu wujud juga disebabkan sikap permimpin berkuasa seperti Najib yang terlalu lembut lidah dengan kaum berkenaan. Mungkin mereka berjanji termasuk mengenai perkara-perkara yang tidak boleh dijanjikan yang dibuat secara senyap atas kepentiungan politik. Jadi bila sampai masa dan ianya tidak ditunaikan meletuskan desakan besar-besaran.
Tidak mustahil juga janji yang terpasung di bibir mulut merah Najib kepada kaum India itu lahir sesuah melihat kesan yang dipamirkan oleh Hindraf itu.
Kepada Najib dan mana-mana pemimpin lain dalam Umno kalau pun ghairah sangat ingin mempamirkan pemimpin berkebajikan jangan sampai mengorbankan kepentingan bangsa Melayu, menyentuh kesucian ad-den dan menghuru hara keamanan negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.