HALAMAN SANTAI

Selasa, 5 Februari 2008

PM harus benarkan Anwar bertanding


Kuala Lumpur - Setiausaha Agung KeADILan, Tan Sri Khalid Ibrahim, hari ini menyeru Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menetapkan tarikh penamaan calon pada atau selepas 15hb April, supaya Ketua Umum KeADILan Dato Seri Anwar Ibrahim dibenarkan melaksanakan hak asas politik beliau.

Beliau berkata Anwar sudah lama menjadi mangsa ketidakadilan sejak sabitan pertama beliau pada 14hb April 1999.

“Kedua-dua sabitan ke atas beliau telah dikutuk dengan meluas sebagai bertujuan politik, akibat perbicaraan yang cacat dan tidak adil,” kata Khalid.

“Akibatnya, hukuman selama enam tahun di penjara Sungai Buloh merupakan penahanan bersifat politik.”

Khalid berpendapat bahawa bukti penyelewengan yang melibatkan pihak-pihak terlibat dalam rayuan Anwar membuktikan kemungkinan Dr Mahathir mengarahkan penahanan Anwar.

“Mereka ini tidak mungkin menjalankan tugas dengan bebas kerana mereka telah mengkompromi kedudukan sendiri,” kata beliau.

KeADILan tidak membantah tarikh pilihanraya yang awal, Khalid berkata, tetapi jika ia diadakan sebelum 15hb April, hak Anwar untuk bertanding akan dilucutkan sekali lagi—seperti apa yang berlaku dalam pilihanraya umum 1999 dan 2004.

“Jika Dato’ Seri Anwar benar-benar tidak lagi relavan dalam politik Malaysia sepertimana yang dikatakan oleh pihak-pihak tertentu, maka tidak patut ada sebarang keengganan untuk melambatkan pilihanraya selama sebulan untuk membolehkan beliau untuk bertanding,” kata beliau lagi.

Khalid menegaskan hak rakyat Malaysia untuk mendengar idea dan cadangan reformasi yang disokong oleh Anwar dan KeADILan. “Keputusan untuk bersetuju atau tidak sepatutnya diletak dalam tangan rakyat,” kata beliau. “Pertempuran idea yang adil patut dibenarkan untuk manfaat negara Malaysia dan masa depannya.”

Beliau juga menyeru Perdana Menteri Abdullah untuk memastikan bahawa tuntutan-tuntutan BERSIH untuk mereformasi pilihanraya dilaksanakan sebelum pilihanraya umum diadakan. Gabungan parti politik dan badan bukan kerajaan tersebut telah menuntut untuk penggunaan dakwat, pembatalan undi pos untuk ahli polis dan pasukan keselamatan, pembersihan daftar pemilih, dan pembukaan media arus perdana kepada semua pihak.

Apabila disoal mengenai kebolehan Anwar bertanding dalam pilihranraya nanti, Khalid menjawab bahawa kerajaan menyekat keupayaan KeADILan untuk memilih wakil rakyat yang terbaik.

“Walaupun Perdana Menteri berkata bahawa pilihanraya adalah terbuka untuk semua, mereka masih ingin menyekat kebolehan Dato’ Seri Anwar untuk bertanding dengan mengadakan pilihanraya pada tarikh yang awal sebelum beliau dapat bertanding.”

“Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang individu di Malaysia yang dikatakan sebuah demokrasi berhak untuk bertanding. Mengapa rakyat tidak diberi peluang memilih pemimpin yang terbaik?”

Tiada ulasan: