Halaman

Isnin, 4 Februari 2008

Polis siasat siswi Melayu UiTM Chendering buang mayat bayi



KUALA TERENGGANU (Bernama) -- Polis akan mengambil keterangan daripada beberapa lagi pelajar perempuan sebuah universiti di sini bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang bayi di tempat pembakaran sampah di kawasan asrama universiti berkenaan, dua hari lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Supt K. Manoharan berkata pelajar-pelajar berkenaan terdiri daripada mereka yang pulang bercuti ke rumah masing-masing sehari sebelum penemuan mayat bayi berkenaan.

"Kami telah ada senarai nama mereka yang akan disoal siasat apabila pulang ke asrama nanti," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Khamis lepas, mayat seorang bayi ditemui dalam keadaan separuh terbakar di tempat pembuangan sampah di kawasan asrama Universiti Teknologi Mara (UiTM), Chendering dekat sini.

Mayat bayi dipercayai baru dilahirkan itu ditemui oleh seorang tukang sapu ketika membakar timbunan sampah di kawasan kampus itu.

Manoharan berkata selepas mayat bayi itu ditemui, polis telah mendapat kerjasama daripada universiti berkenaan untuk mengadakan perjumpaan dengan pelajar perempuan yang masih berada di asrama itu, Khamis lepas.

"Setakat ini, kami belum buat sebarang tangkapan berhubung kes itu," katanya.

Beliau berkata polis telah meminta senarai nama pelajar yang pulang bercuti atau tidak hadir dalam perjumpaan itu atau pun menghilangkan diri secara tiba-tiba, bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Manoharan berkata hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini mendapati jantina bayi itu adalah lelaki dan dipercayai bangsa Melayu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.