HALAMAN SANTAI

Sabtu, 2 Februari 2008

Presiden PAS gempur kawasan Abdullah Badawi 16 Feb
Mohd Sabri Said


PULAU PINANG (Hrkh) - PAS akan mengempur kubu kuat Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi melalui Program Jelajah Presiden pada 16 Februari akan datang, kata Ketua Penerangan PAS Negeri, Abdul Halim Salleh.

Menurut Abdul Halim, Dato' Seri Abdul Hadi Awang berucap di tapak Kompleks PAS Kepala Batas di Kampung Kota Aur dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Penaga pada pukul 2.00 petang ini dan kemudian akan bertolak ke Hotel RedRock Jalan Macalister untuk menutup Konvensyen Lajnah Perpaduan Nasional peringkat kebangsaan.

Manakala pada sebelah malamnya pula beliau bersama empat pimpinan tertinggi peringkat pusat iaitu Timbalan Presiden, Ustaz Nasarudin Mat Isa, Naib Presiden, Mohamad Sabu dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar akan menemui rakyat di Sungai Kecil dalam Dun Sungai Bakap, Parlimen Nibung Tebal.

"Saya mewakili Badan Perhubungan PAS Negeri menjemput semua jentera PAS, penyokong dan rakyat bersama menghadiri dan mendengar amanat yang akan disampaikan oleh pucuk pimpinan parti di Kota Aur, Penaga jam 2.00 petang dan di Sungai Kechil, Sungai Bakap pada sebelah malamnya, " tegas beliau.

Sementara itu, Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Penaga, Zulkiply Ishak dalam kenyataan pada Harakadaily menyifatkan lawatan presiden di saat-saat pilihan raya merupakan satu lonjakan kepada petugas parti untuk memberikan tentangan hebat terhadap jentera Barisan Nasional (BN) yang pastinya mahu mempertahankan wibawa Abdulah.

Jelas beliau, PAS tidak hairan selesai sahaja program itu kelak akan wujud jentera Umno akan pergi ke rumah-rumah mengugut untuk mempastikan pengundi tidak menyebelahi pembangkang dalam pilihan raya umum kali ini.

Katanya, Umno sememangnya akan menggunakan berbagai cara untuk membuktikan kedudukan Abdullah tidak tergugat tambahan dikatakan ada usaha 'geng' tertentu dalam Umno mahu melihat Perdana Menteri rebah di gelanggang sendiri yang akhirnya membuka peluang timbalannya menerajui negara sebagai Perdana Menteri ke enam Malaysia.

"Bagi meluangkan masa bersama pimpinan samada presiden, pimpinan pusat atau pun negeri rakyat digalakan datang awal kerana ada kenduri disediakan pada jam 12.00 tengahari sehingga 2.00 petang," kata beliau yang juga Setiausaha PAS Kawasan Kepala Batas. - mr

Tiada ulasan: