Puteri UMNO tidak desak lebih kerusi
KUALA LUMPUR – Puteri UMNO tidak akan mendesak pucuk pimpinan parti memperuntukkan lebih banyak kerusi kepada pergerakan itu pada pilihan raya umum ke-12.
Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad sebaliknya berkata, terpulang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memutuskan perkara itu.
‘‘Namun Puteri UMNO menganggap ia sebagai rezeki jika mendapat lebih banyak peruntukan kerusi atau lebih ramai yang dipilih menjadi calon,’’ katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan operasi mencari harlinie Mohd. Nashar, 5, yang hilang sejak 9 Januari lalu.
Operasi sehari yang dianjurkan oleh Puteri UMNO dan Kelab UMNO Luar Negara itu disertai oleh 150 ahli yang mengedarkan kira-kira 20,000 poster Sharlinie dari Kuala Lumpur hingga ke Melaka.
Puteri UMNO setakat ini mempunyai satu kerusi Parlimen iaitu di Papar, Sabah dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu di Sungai Tiang, Kedah dan Paroi di Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, Noraini turut melarang ahli Puteri UMNO melobi untuk menjadi calon.
Tegasnya, pergerakan itu perlu mengutamakan kerja untuk memastikan calon Barisan Nasional (BN) menang pada pilihan raya umum kelak.
‘‘ Puteri UMNO masih baru dan apa yang penting bagi kita sekarang adalah bekerja untuk parti. Soal melobi sebagai calon itu perlu diletakkan ke tepi,’’ katanya.
Tambahnya, Puteri UMNO juga akan bergerak lebih agresif bagi membantu calon BN berkempen antaranya menggunakan kecanggihan teknologi maklumat.
Katanya, cara itu dilihat berkesan terutamanya untuk mendekati golongan pengundi generasi muda yang lebih gemar menggunakan internet.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.