“Singapura raih manafaat dengan kewujudan WPI" Kuan Yew
MENTERI Mentor Singapura Lee Kuan Yew berkata Singapura akan meraih manfaat dalam projek Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) namun pada jangka panjang Malaysia akan meraih manfaat lebih besar. Oleh itu, Malaysia perlu merubah pemikirannya - daripada pandangan berasaskan persaingan dan kebencian terhadap Singapura kepada kerjasama dan sedia menerima negara ini.
Apatah lagi, Malaysia mempunyai bakat dan sumber tenaga lebih luas berbanding Singapura. Lee berkata, Singapura akan melakukan apa yang terdaya dan patut dilakukan untuk memastikan IDR berjaya.
'Soal siapa yang akan dapat lebih manfaat (daripada projek WPI), sejarah akan menentukannya,' kata Lee semasa ditemui media di kediamannya semalam.
Kenyataan beliau adalah sebagai mengulas lebih lanjut komen yang dibuatnya dalam satu sidang Institut Pengajian Dasar, tengah hari semalam, tentang adakah Singapura memerlukan kawasan pedalaman, seperti Malaysia, untuk berkembang sebagai sebuah kota sejagat.
Lee juga berkata Singapura akan membiarkan Malaysia menentukan rentak pembangunan WPI.
'Inilah isyarat yang ingin kami beri kepada pemimpin Malaysia, bahawa kami sudah sedia bekerjasama dengan anda kerana kami akan menikmati pertumbuhan, begitu juga anda, tetapi anda akan menikmati pertumbuhan lebih baik daripada kami kerana anda mempunyai sumber yang lebih luas.'
Hubungan Singapura-Malaysia bukan satu pertarungan tuntas (zero-sum game), seperti yang dirasakan perdana menteri Malaysia sebelum ini, Dr Mahathir Mohamad, yang mahu menyaingi dan merendahkan kedudukan Singapura, kata Lee.
Kerjasama Singapura-Malaysia yang dapat menghasilkan nilai maksimum asalnya adalah idea Dr Mahathir apabila beliau menyarankan pembinaan terowong bagi khidmat kereta api laju ke Singapura.
'Sayangnya, sesuatu berlaku semasa krisis kewangan (pada 1997), Perdana Menteri (ketika itu) Goh Chok Tong, tidak dapat bersetuju dengan perubahan syarat pinjaman kepada Malaysia dan beliau tiba-tiba menjadi dingin terhadap Singapura, tetapi logik saranan itu tetap utuh.
'Atas dasar itu, perjalanan udara lebih pantas, termasuk penerbangan bajet, perjalanan darat lebih pantas serta perjalanan kereta api lebih pantas antara Singapura dan Kuala Lumpur akan bermanfaat buat kedua-dua pihak,' ujar Lee. BHS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.