Halaman

Selasa, 5 Februari 2008

Siri Kedua:
Mengimbas Kembali Manifesto BN Dalam PRU11
Ruhanie Ahmad



Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi merangkul kemenangan besar dalam PRU11. Abdullah memukau rakyat jelata ketika itu dengan manifesto dan slogan Cemerlang Gemilang Terbilang. Beliau juga menambat hati rakyat dengan retorika “saya adalah hamba no. 1 negara” dan “bekerja bersama saya dan bukan untuk saya”.

Abdullah juga memaparkan imejnya yang bersih dengan menggunakan puisinya - Ku Cari Damai Abadi - sebagai penutup kepada manifesto tersebut. Sepatah kata Firdaus Abdullah dalam Utusan Malaysia 26 Jun 2003, puisi itu adalah manifestasi “wajah dalaman” Abdullah, pegangan hidupnya dan falsafah perjuangannya.

Dalam manifesto itu juga dipaparkan beberapa gambar Abdullah bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dalam suasana yang mesra dan ceria. Untuk mengimbas kembali kandungan manifesto berkenaan dan menyaksikan cara pengolahan gambarnya, sila akses: http://202.56.84.170/webserver/umnoonline/manifesto/BM%20version%20-%20full.pdf

Antara azam, tekad, ikrar dan janji BN yang termaktub dalam Manifesto PRU11 adalah seperti berikut:

Mempertahankan kemerdekaan serta kedaulatan negara: Dalam konteks ini, rakyat wajar mengambil kesimpulan sama ada kewujudan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) selaras dengan ikrar mempertahankan kemerdekaan serta kedaulatan negara. Kalau usaha ini memang secocok dengan cita-cita tersebut, mengapakah wujud persepsi di kalangan rakyat jelata bahawa WPI adalah menjejaskan kedaulatan negara?

Meningkatkan martabat bangsa dan negara, agar sentiasa dihormati dan dicontohi, di pentas dunia; dan memastikan Malaysia tetap berpengaruh di peringkat antarabangsa, khususnya selaku pengerusi OIC dan NAM: Bagaimanakah hakikatnya pada hari ini? Benarkah sebagai yang didakwa oleh banyak pihak bahawa imej Malaysia di arena internasional kini kian merosot?

Suara Rakyat

Komited kepada demokrasi berparlimen, memberikan setiap warganegara suara dalam pentadbiran negara: Di manakah suara rakyat jelata dalam konteks beberapa isu kontroversi seperti penyambungan khidmat pengerusi SPR, skandal ECM Libra dan lain-lainnya?

Memenuhi tuntutan rakyat dengan memerangi rasuah. Meneruskan usaha-usaha untuk membudayakan semangat menolak rasuah: Perkara ini telah saya ulas dalam siri satu. Secara umumnya, mengapakah kini wujud persepsi bahawa kadar rasuah kian berleluasa?

Membangunkan negara secara menyeluruh dan seimbang berlandaskan pentadbiran, pengurusan, perkhidmatan malah pemikiran ‘kelas pertama’: Apakah di antara contoh “pemikiran kelas pertama” yang dicetuskan oleh era Abdullah?

Prihatin terhadap keperluan rakyat dan akan merujuk kepada pandangan rakyat dalam isu-isu penting, serta mendapatkan pandangan rakyat secara aktif bagi isu-isu penting: Adakah tekad dan azam seperti ini wujud dalam usaha kerajaan menangani kenaikan harga barang-barang makanan termasuk minyak masak, kenaikan harga petroleum, kenaikan kadar tol, kewujudan WPI, tuntutan mewujudkan sistem pilihan raya yang telus dan sebagainya?

Membanteras jenayah dan gejala sosial: Mengapakah kini sindiket jenayah asing dilaporkan berleluasa di Malaysia? Mengapakah terjadi kes penculikan kanak-kanak yang kian meningkat? Mengapakah kadar jenayah dikatakan bertambah serius?

Meningkatkan tahap keselamatan peribadi setiap individu: Hujjah di atas berkait rapat dengan ikrar dan janji ini. Soalnya, apakah pendapat rakyat jelata mengenai hal ini?

Agenda Tegas

Maka, terserahlah kepada rakyat jelata untuk membuat kesimpulannya. Abdullah memang telah mengatakan dalam Manifesto PRU11 bahawa “agenda yang saya tetapkan adalah sesuatu yang saya mahu lihat dilaksanakan dan bukan sesuatu yang hanya sedap didengar dalam ucapan untuk mendapat tepukan.”

Secara hitam putih juga Abdullah menegaskan dalam manifesto berkenaan bahawa ”saya tegas dengan janji saya bahawa agenda saya bukan sekadar janji manis atau janji pilihan raya. Kerajaan yang saya pimpin dan parti yang saya ketuai ini sudah membuktikan bahawa kami bekerja untuk rakyat dan bukan untuk mendapat undi.”

Berasaskan seluruh azam, cita-cita, tekad, ikrar dan janji seperti di atas, Abdullah dan BN wajar membuat reality check sebelum merangka manifesto bagi PRU12. Ini kerana situasi mutakhir agak mustahil untuk BN mengulangi kecemerlangan prestasi PRU11.

Berasaskan seluruh azam, cita-cita, tekad, ikrar dan janji yang sama juga adalah menjadi hak rakyat Malaysia untuk membuat penilian secara bijaksana dalam PRU12.

Tindakan dan keputusan yang diambil pula wajarlah berlandaskan pertimbangan yang bijaksana, menyeluruh, luas, rasional dan berhemah. Ini kerana pada ketika ini memang ramai di antara kita yang sedang dicengkam dilema ditelan mati emak, diluah mati bapak. Lantas, pilihan yang sebaik-baiknya adalah berlandaskan kepentingan agama, bangsa dan negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.