SPR: 10,922,139 orang pemilih induk 2007 diwarta
Oleh Webmaster
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mewartakan Daftar Pemilih Induk 2007 esok sekali gus menjadikan keseluruhan jumlah pemilih berdaftar yang layak mengundi pada pilihan raya umum akan datang seramai 10,922,139 orang.
Setiausaha SPR, Datuk Kamaruzaman Mat Nor berkata, Daftar Pemilih Induk 2007 yang akan diwartakan itu melibatkan penggabungan Daftar Pemilih Tambahan (DPT) Suku Pertama Sehingga Suku Keempat 2007 dengan Daftar Pemilih Induk 2006.
Katanya, pewartaan itu bagi membolehkan senarai pemilih yang berdaftar pada DPT tahun ini digunakan dalam sebarang urusan pilihan raya.
‘‘Ini selaras dengan Peraturan 24 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.
‘‘Dengan pewartaan tersebut, jumlah pemilih dalam Daftar Pemilih Induk 2007 adalah seramai 10,922,139 orang,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada pilihan raya umum ke-11 lalu, jumlah pemilih berdaftar yang dikeluarkan SPR adalah seramai 10.284 juta iaitu melibatkan pertambahan seramai 720,520 berbanding pilihan raya umum ke-10.
Sementara itu, SPR dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan malam ini berkata, DPT Suku Tahun Keempat dari Oktober hingga Disember 2007 telah diwartakan hari ini.
Menurut Pegawai Perhubungan Awam SPR, Sabri Said, DPT Suku Tahun Keempat 2007 itu mengandungi 200,393 pemilih yang terdiri daripada 148,969 permohonan pemilih baru dan 51,424 permohonan pertukaran alamat pusat mengundi.
‘‘Sebanyak 69 tuntutan dalam Suku Tahun Keempat 2007 tidak dapat diselesaikan kerana bahagian pilihan raya berkenaan terlibat dengan urusan bantahan dan terpaksa dibawa ke Suku Tahun Pertama 2008.
‘‘Sementara itu, bantahan pula melibatkan 13,423 permohonan dengan urusan bantahan ini masih lagi dalam siasatan oleh Pendaftar Pemilih negeri-negeri yang terlibat iaitu di Kelantan, Perlis, Pahang, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.
‘‘Ia tidak dapat dimasukkan ke dalam DPT Suku Tahun Keempat 2007 yang disahkan pada 29 Januari lalu,’’ jelasnya.
Dalam pada itu, Sabri berkata, sebelum penggabungan itu disahkan, SPR dalam masa yang sama telah mengeluarkan sebanyak 48,371 orang pemilih daripada rekod pemilih berdaftar atas sebab-sebab seperti bertukar alamat, meninggal dunia dan dilucut hak warganegara.
Katanya, berikutan itu, pemilih berdaftar adalah digalakkan untuk menyemak Daftar Pemilih Induk 2007 bagi membuat tujuan pembetulan ke atas apa-apa kesilapan data dari segi ejaan nama, nombor kad pengenalan, jantina, nombor rumah pemilih dan sebagainya yang dilakukan secara tidak sengaja oleh SPR.
‘‘Sekiranya terdapat sebarang kesilapan data, pemilih boleh membuat pembetulan dengan menghantar pembetulan tersebut melalui laman web SPR atau datang sendiri ke mana-mana pejabat SPR di setiap negeri.
‘‘Selain itu orang ramai yang berminat untuk membeli Daftar Pemilih Induk 2007 boleh membuat tempahan di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya bermula selepas 5 Februari manakala mereka yang mempunyai pertanyaan boleh menghubungi SPR,’’ ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.