Suami zalim, anak dajal
Oleh AHMAD NAZRI MOHAMAD dan FUAD HADINATA YAACOB
metahad@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal hidup berteman derita apabila waktu mudanya dijual dan dibelasah suami, sesudah bercerai pula diseksa tiga anak lelaki ‘dajal’.
Lapan tahun hidup bersama suami yang juga penagih dadah sebelum bercerai, Anis, 36, tidak mengecap nikmat kebahagiaan sebenar, malah menjadi mangsa ‘sepak terajang’ lelaki kejam itu.
Penderitaan bagai tiada kesudahan itu diteruskan pula tiga daripada empat anak lelakinya yang layak digelar ‘Si Tanggang’ kerana terbabit dalam pelbagai kes jenayah seperti samun, menghamilkan teman wanita, mencuri, hisap dadah, hidu gam, peras ugut dan mencabul kehormatan.
Kehidupan yang dilalui bak kata pepatah, ‘keluar dari mulut harimau, masuk mulut buaya’ hampir menjadikan wanita itu tidak siuman sehingga terpaksa mengambil sejenis pil penenang untuk mengelak tekanan.
Menurut wanita berasal dari Petaling Jaya, Selangor itu, kesengsaraan berganda yang dihadapinya tidak tertanggung lagi, bagaikan sudah kering air mata menangisi nasib.
Katanya, saat manis perkahwinan dengan suaminya hanya dikecapi apabila mula-mula kahwin. Ketika itu dia baru berusia 15 tahun.
“Semuanya indah pada awal perkahwinan. Selepas beberapa tahun, dia berubah dan mula mengambil dadah. Sejak itu, saya melalui episod ngeri setiap hari. Semua kemahuannya kena dituruti, kalau tidak saya akan kenyang ‘makan’ penerajang.
“Saya dipaksa melakukan pelbagai kerja, termasuk membungkus dadah. Jika lambat, saya bukan saja diherdik dan dimaki, malah disepak dan dihantuk ke dinding. Berdarah perkara biasa bagi saya.
“Pernah saya adakan parti hari jadi untuk suami, tetapi alangkah hancurnya hati saya apabila majlis sambutan itu dibalas dengan penampar,” katanya.
Anis berkata, ketika berusia awal 20-an, suaminya juga pernah menjualnya kepada seorang wanita dikenali dengan nama Kak Nor yang menjadikannya buruh paksa sebagai pembantu kedai di sekitar Petaling Jaya dan Bangsar.
“Selama enam bulan bersama Kak Nor, saya sekadar hanya diberi makan minum percuma. Saya bekerja tanpa dibayar gaji walau sesen pun,” katanya dengan tenang ketika ditemui di rumahnya di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Menurut Anis, lantaran tidak tahan melihat dia menderita, ibu mentuanya meminta dia bercerai dengan suaminya.
“Malangnya, beberapa kali saya dipermainkan suami yang berjanji jika saya sanggup menyediakan sejumlah wang, dia akan bebaskan saya.
“Pernah suami minta saya RM500 jika mahu bercerai, apabila saya sediakan wang, dia ambil duit sambil ketawa dan keluar dari rumah sambil mengatakan dia tidak mahu ceraikan saya,” katanya yang akhirnya bercerai apabila suaminya dimasukkan ke penjara ketika dia berusia 23 tahun.
Itu baru episod duka dengan suami, kisah dengan tiga anak ‘dajal’ lain pula.
Ketika berpisah dengan suami, dia baru berusia 23 tahun tetapi memiliki empat anak lelaki yang kini berusia 21, 18, 17, dan 16 tahun.
Katanya, selepas berpisah dengan suami, dia mendapat hak penjagaan ke atas keempat-empat anaknya tanpa menuntut sesen pun nafkah, tetapi bekas suami tetap mengambil anak ketiga mereka untuk dipelihara ibu bapanya.
“Namun, selepas memiliki dan membesarkan tiga anak itu, saya tidak sangka pelbagai masalah timbul.
“Kata orang, dalam setandan pisang ada sebiji yang tidak baik, tetapi pada saya hanya satu yang baik manakala bakinya buruk. Saya tak tahu hendak buat apa lagi, wang dan harta benda sudah banyak habis untuk mereka,” kata Anis.
Kesengsaraan dialami berterusan yang ditanggung ibu tunggal itu berpunca daripada sikap tiga ‘anak durjana’ selepas perkahwinan yang dibina bersama suami musnah.
Anak sulung menyebabkan teman wanitanya hamil luar nikah; anak kedua didakwa mencuri dan merogol, manakala anak bongsu menghidu gam, peras ugut dan meraba. Cuma anak ketiga yang dipelihara ibu bapa mentuanya tidak menimbulkan masalah seperti adik-beradik lain.
Akibat derita dan sengsara yang tidak berkesudahan itu, Anis terpaksa mengambil sejenis pil sejak beberapa bulan lalu untuk menenangkan perasaan, sekali gus mengelak keadaannya menjadi lebih teruk, termasuk gila.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan