Halaman

Selasa, 5 Februari 2008

Sudahkah 50 bomoh menemui Sharlinie?
Azamin Amin


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Dengan pelbagai 'kepakaran' dan teknik, masyarakat umumnya masih tertanya akan hasil kemampuan para bomoh memberi khidmat dan menjanjikan '1001' janji manis untuk menemui Sharlinie yang sudah hampir sebulan hilang.

Lebih mengecewakan, beberapa bomoh sanggup menetap tarikh Sharlinie akan 'muncul' namun janji tersebut hanyalah omongan kosong sahaja dan menghampa keluarga mangsa.

Mengulas isu yang seumpama ini, Ustaz Zaharuddin Abd Rahman dalam laman webnya menyatakan bomoh atau dukun biasanya akan mendakwa mengetahui perkara ghaib seperti berita tentang perkara-perkara akan datang dan dakwaan tersebut bersandarkan perkhabaran yang dibisikkan oleh jin yang mencuri dengar ucapan para malaikat.

"Lalu dicampur-baurkan ucapan itu dengan ratusan kebohongan. Kemudian manusia mempercayai ramalan bomoh tersebut," katanya yang pernah mengulas 'fenomena' bomoh menawarkan khidmat dan kepakaran mengesan kehilangan Nurin Jazlin Jazimin yang wajar dielak oleh masyarakat khususnya yang beragama Islam.

Beliau berkata masyarakat awam sepatutnya berwaspada dalam hal ini kerana bomoh kadang-kadang menzahirkan dirinya sebagai tukang ubat, peramal, ustaz, wali yang mampu melakukan beberapa perkara luar biasa seperti kebal dan lain-lain padahal mereka sebenarnya bukan wali Allah tetapi wali syaitan yang hanya akan merosak akidah umat.

Zaharuddin meminta umat Islam merujuk Firman Allah SWT dalam surah Al-A'raaf ayat 180 yang bermaksud:

"Hanya milik Allah asma-ul husna, maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut asma-ul husna itu dan tinggalakanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut) nama-nama-Nya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan."

Beliau juga turut menyelitkan hadis riwayat Sofiyyah Abu 'Ubaid daripada sebahagian isteri Nabi s.a.w , daripada Nabi s.a.w, bersabda:

"Barangsiapa yang mendatangi 'arrofan (iaitu org yg mendakwa memiliki ilmu untuk mencari benda yang hilang ) kemudian memintanya utk mencarikan utknya barang yg hilang itu, kemudian mempercayainya, maka Allah tidak akan menerima sembahyangnya selama 40 hari."

Terdahulu Penganalisa Jenayah Kamal Effendi Hashim turut menasihati supaya para bomoh mahupun paranormal yang menawarkan khidmat mengesan Sharlinie Mohd Nashar yang hilang agar tidak memberi harapan palsu kepada kepada keluarga mangsa.

Kamal berkata dalam beberapa kes penculikan, terdapat ramai bomoh tampil memberi jaminan dengan khidmat yang diberikan akan dapat menemui mangsa culik dengan segera sedangkan sebaliknya merupakan harapan palsu yang menyebabkan keluarga mangsa akan merasa lebih tertekan dan derita.

"Jangan memberi harapan palsu dan mencipta syirik kepada Allah SWT," katanya dalam satu wawancara dengan Harakahdaily.net.

"Dalam kes lepas sejumlah 73 paranoramal, pawang atau bomoh telah berjanji akan menemui mangsa namun satu pun tidak berjaya," katanya. - mks.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.