Halaman

Khamis, 7 Februari 2008

Umno suka kotor, benci bersih?
Abdul Halim Mohd Rashid


Dalam tulisannya bertajuk "How the hunter became the hunted", Editor Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin mendakwa Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan adalah "the patron of the underworld".

Takut tak bersesuaian dengan apa yang dimaksudkan Raja Petra, cukuplah dipetik terjemahan Kamus Inggeris-Melayu Dewan kepada dua perkataan di dalam dakwaannya itu.

Kamus tersebut menterjemahkan patron sebagai penaung. Underworld pula diterjemahkan oleh Kamus Inggeris-Melayu Dewan sebagai dunia penjenayahan.

Benarkah Ketua Polis Negara menaungi dunia penjenayahan? Mengapa Perdana Menteri tidak bertindak dan hanya berpura-pura hairan sambil bertanya ,"Apa yang sedang berlaku? Mengapa (kadar peningkatan jenayah) tinggi sangat?"

Dalam tempoh empat tahun Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, kata Lim Kit Siang, jenayah meningkat sehingga 45 peratus.

Soalnya, benarkah wujud "unholy trinity" untuk melindungi kumpulan penjenayah di bawah kepala bernama BK Tan?

Raja Petra pernah menggambarkan Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan Ketua Pengarah BPR bergabung dalam "unholy trinity" untuk melindungi kumpulan penjenayah yang dikepalai oleh BK Tan?

Lebih buruk lagi, benarkah Perdana Menteri tidak berani kepada "unholy trinity"?

Benarkah, seperti kata Raja Petra, "unholy trinity" akan hanya berkhidmat kepada Perdana Menteri selagi beliau tidak mengancam kepentingan mereka?

Benarkah Perdana Menteri, seperti dakwaan editor Malaysia Today itu, terlibat dalam pelbagai kes yang bertentangan dengan undang-undang? Benarkah Perdana Menteri terlibat dalam skandal mensabotaj bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, skandal pengeksportan komponen nuklear ke Libya oleh Scomi dan skandal Oil-for-Food?

Benarkah penglibatannya dalam kegiatan-kegiatan yang bertentangan dengan undang-undang itu menyebabkan Perdana Menteri takut kepada "unholy trinity"?

Jika benar apa yang didakwa oleh Raja Petra, bolehkah Perdana Menteri menjamin keselamatan dan nyawa rakyat negara ini dari BK Tan?

Jika benar apa yang didakwa oleh Raja Petra, adakah Perdana Menteri bersih dari BK Tan? Jika beliau tidak bersih, mengapa ahli-ahli Umno bersekongkol dengan Perdana Menteri yang tidak bersih dan membiarkan beliau terus berkuasa?

Mengapa ahli-ahli Umno enggan membersihkan parti mereka dan Barisan Nasional seperti yang disarankan oleh Dr Mahathir? Memang benar, Perdana Menteri sering dituduh sebagai "tahi dan najis" yang diceleretkan oleh Dr Mahathir? Memang kasar tuduhan itu kepada Perdana Menteri dan juga Dr Mahathir. Apa pun, itulah tuduhan yang sukar diubah atau dipadamkan.

Tetapi, mengapa ahli-ahli Umno enggan membantu Dr Mahathir yang sudahpun mengangkat air, mengambil penyapu, berus dan sabun untuk membersihkan najis yang diceleretkannya? Bolehkah beliau membersihkannya seorang diri? Bukankah ahli-ahli Umno yang merestui Dr Mahathir menceleretkan tahi dan najisnya itu?

Adakah ahli-ahli Umno suka yang kotor dan benci yang bersih?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.