HALAMAN SANTAI

Jumaat, 7 Mac 2008

Anwar sudah maafkan Mahathir, kini lebih marahkan Abdullah
Oleh Darwis Said


PEMIMPIN pembangkang dan mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam berkata beliau telah memaafkan Tun Dr Mahathir Mohamad, walaupun mantan perdana menteri itu pernah menyebabkab beliau dihukum penjara selama enam tahun.

'Saya telah pun memaafkan Dr Mahathir kerana kini Datuk Abdullah lebih menimbulkan kemarahan kepada saya,' kata Datuk Anwar, semasa menyampaikan ceramah di Taman Seri Rembau, di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong, Rembau.

'Dia (Dr Mahathir) pernah meletakkan saya dalam penjara selama enam tahun. Saya maafkan dia.... Maklumlah dia pun dah uzur,' tambah beliau.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah, telah melancarkan serangan bertubi-tubi terhadap Datuk Anwar sejak beberapa hari lalu, dalam apa yang disifatkan para pemerhati politik sebagai satu petanda bahawa penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu semakin mengancam Barisan Nasional (BN), parti campuran kerajaan yang dipimpin Datuk Abdullah.

Dr Mahathir pula pernah memecat mantan timbalannya itu pada 1998 sebelum beliau dituduh rasuah dan menjalani hukuman penjara selama enam tahun.

Akibatnya, Datuk Anwar tidak dapat memegang jawatan awam sehingga 15 April ini, dan tidak dapat bertanding dalam pilihan raya esok.

'Datuk Abdullah sejak tiga hari lalu menyuruh mereka (calon-calon BN) menyerang saya. Macam mana ni, saya tidak bertanding,' kata Datuk Anwar, yang disambut dengan tertawa gemuruh para hadirin acara ceramah itu.

Awal daripada itu, Datuk Anwar berkata beliau tetap mempertahankan hak orang Melayu tetapi akan berlaku adil kepada kaum Cina dan India sebagai seorang 'pemimpin Malaysia'.

Tiada ulasan: