Halaman

Selasa, 11 Mac 2008

Bursa Malaysia kena ‘tempias’ pilihan raya


KUALA LUMPUR – Urus niaga di Bursa Malaysia digantung sementara bagi mengelak kejatuhan berterusan petang semalam, dipercayai ekoran sikap pelabur yang bimbang keadaan politik tidak menentu selepas pilihan raya baru-baru ini.

Ia ditutup sejam mulai 2.58 petang apabila bursa itu jatuh sebanyak lebih 10 peratus dengan Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) susut mendadak 130 mata atau 10.03 peratus kepada 1166.32.

Dagangan telah dihentikan selama sejam.

Ini sebahagian daripada langkah ‘pemutus litar’ yang diperkenalkan oleh Bursa Malaysia yang membolehkan urus niaga digantung jika (KLCI) jatuh sebanyak 10 peratus atau lebih, tetapi kurang daripada 15 peratus berbanding indeks pada penutupan dagangan sebelumnya.

Mengikut peraturan ‘pemutus litar’ itu, jika pasaran jatuh sebanyak 15 peratus berbanding paras penutupan dagangan sebelumnya apabila dagangan disambung semula selepas sejam itu, pasaran akan ditutup hingga akhir hari dagangan berkenaan.

Sementara itu, dagangan pada sebelah petangnya ditutup dengan paras lebih rendah apabila Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) berada pada 1,173.22, turun 123.11 mata atau 9.50 peratus.

Menurut Alliance Investment Bank, kejatuhan itu merupakan reaksi spontan kepada keputusan pilihan raya yang tidak dijangkakan, dan reaksi sedemikian ‘sememangnya dijangkakan’.

“Tetapi kami tidak menjangkakan kejatuhan sebegitu besar. Pasaran memberi reaksi keterlaluan,” kata Penolong Naib Presiden Kanan (Jualan Institusi), Shahrul Kamal Ramli.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.