HALAMAN SANTAI

Selasa, 11 Mac 2008

Istana tentukan siapa MB Perak
Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI


IPOH - Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah semalam menerima menghadap wakil Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi menyatakan hasrat menubuhkan kerajaan campuran selain nama calon bakal Menteri Besar.

Rombongan yang menghadap Raja Dr. Nazrin selama kira-kira 30 minit di Istana Kinta itu diketuai Pesuruhjaya Pas Perak, Ahmad Awang, Pengerusi PKR Perak, Zulkfili Ibrahim dan Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham.

Turut serta menghadap ialah tiga nama yang disebut-sebut sebagai calon menteri besar iaitu Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dari Pas, wakil rakyat PKR dari Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi dan Nga Kor Ming mewakili DAP.

Kelmarin, tiga parti berkenaan telah mengumumkan pembentukan kerajaan campuran selepas menguasai 31 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya lalu.

Pada sidang akhbar semalam, Ahmad berkata, calon yang dipilih dijangka diketahui hari ini manakala upacara mengangkat sumpah pula dijadual esok.

Katanya, mereka telah bersepakat menyerahkan urusan pemilihan Menteri Besar Perak ke-10 kepada Raja Nazrin.

"Sekarang terpulanglah kepada Tuanku untuk beri perkenan.

"Parti terlibat juga telah bersetuju mene rima apa jua keputusan yang dibuat,'' katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas berapa banyak nama yang dihantar oleh setiap parti dan individu yang dicalon.

Pada sidang media berasingan, Penasihat DAP, Lim Kit Siang ketika diajukan persoalan siapakah calon Menteri Besar Perak, memberi jawapan ringkas; "DAP sudah tentu sokong DAP, nak sokong siapa lagi.''

Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa pula tidak mahu rakyat Perak bimbang tidak bertempat.

"Kalau calon DAP dipilih (sebagai Menteri Besar), Pas akan sokong.

"Kalau calon PKR dipilih, Pas akan sokong. Kalau Pas dipilih, saya berharap semua rakan-rakan sokong calon Pas,'' ujarnya.

Tiada ulasan: