Kecoh di Rusila, provokasi terancang BN
Awang Harun
MARANG (Hrkh) - PAS bertegas tidak akan menghormati Undang-undang yang zalim dan bercanggah dengan prinsip-prinsip demokrasi.
Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata demikian ketika mengulas kekecohan yang berlaku di Peti Undi Kampung Rusila, Marang, hari ini.
"Kekecohan berlaku apabila didapati adanya bas yang membawa pengundi dari luar bukan pengundi dalam kawasan ini.
"Jadi apabila petugas-petugas kita melakukan pemeriksaan didapati mereka adalah pengundi-pengundi yang hendak mengundi di Peti Undi Rusila,” ujarnya ketika ditemui di rumahnya.
Oleh kerana itu, katanya PAS tidak akan menghormati undang-undang yang zalim termasuk undang-undang yang bercanggah dengan prinsip demokrasi.
Menurutnya, meski pun mereka beranggapan bahawa asal sahaja ada nama semua boleh mengundi. "Itu suatu perkara yang perlu kita siasat dahulu adakah ia sebenarnya pengundi di kawasan ini atau pun tidak dan sekarang ini jelas bahawa adanya pengundi-pengundi hantu yang dikatakan pengundi-pengundi hantu dan bukan sahaja ianya hantu tetapi diberi perlindungan oleh polis," jelasnya.
Alhamdulillah, kata Dato’ Seri Abdul Hadi bahawa pemuda-pemuda PAS telah dapat menjalankan tugas dengan baik serta dapat menghalang pengundi-pengundi tersebut.
"Kekecohan berlaku kerana mereka dilindungi dan dipertahankan oleh pihak polis yang sangat mendukacitakan kita.
"Ini satu perancangan dan penyelarasan antara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang bertanggungjawab mendaftarkan mereka dalam daftar pemilih dan polis memberikan perlindungan secara sistematik.
"Bila mereka dihalang tempat berlindung mereka ialah balai-balai polis dan balai polis jadi tempat perlindungan kepada pengundi-pengundi hantu," tegasnya.
Berikutan itu, dua orang telah cedera adalah dari kalangan pemuda kampung ini (Rusila) dan salah seorang itu adalah anak Presiden PAS, Ustaz Muhamad Khalil.
Dato' Seri Abdul Hadi mendakwa kekecohan tersebut adalah suatu provokasi yang dirancang oleh pihak Umno dan Barisan Nasional (BN).
"Kita akan halang dan apabila berlaku kekecohan yang menyebabkan petugas-petugas dari peti undi lain datang, kita mengarahkan supaya mereka balik ke tempat masing-masing dan menjalankan tugas di tempat masing-masing.
"Jaga tempat masing-masing dan kita mengganggap itu satu provokasi yang dirancang oleh mereka supaya jentera parti tertumpu pada satu tempat dan mereka mengambil peluang membawa masuk pengundi-pengundi hantu," jelasnya.
Katanya, PAS menyertai pilihan raya bagi menghidupkan demokrasi dan perjuangan belum selesai dengan pilihan raya.
Menurutnya, rakyat perlu terus berjuang bagi membersihkan demokrasi sehingga rakyat dapat menjadi hakim yang adil, diberi hak yang sewajarnya. - mks.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan