Kempen agresif BN mungkin jadi rakyat Kelantan kurang berminat
JELI — Rakyat Kelantan mungkin menolak Barisan Nasional (BN) kerana kurang berminat dengan taktik calon BN yang begitu agresif sepanjang tempoh berkempen pada pilihan raya umum semalam, kata Ahli Parlimen Jeli Datuk Mustapa Mohamed.
Katanya, kemungkinan sikap dan cara berkempen seperti itu di Kelantan telah menimbulkan rasa kurang berminat oleh rakyat negeri itu terhadap BN.
“Kita akui yang kita banyak menyerang dalam menyampaikan ucapan pada kempen pilihan raya, bagaimanapun mungkin ada sebab lain yang menyebabkan rakyat menolak kita,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pas terus menguasai Kelantan buat penggal keempat berturut-turut setelah ia bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi 39 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-12.
Pas mencatatkan kebangkitan mengejutkan dengan pencapaian jauh lebih baik berbanding pilihan raya umum 2004 lalu apabila memperoleh 38 daripada 40 kerusi manakala PKR satu daripada lima kerusi ditandingi.
Bagi kerusi Parlimen pula, Pas menguasai sembilan kerusi, PKR tiga manakala BN hanya dua kerusi melalui Tengku Razaleigh Hamzah yang berjaya mengekalkan kerusi Gua Musang dan Mustapa.
Mustapa, yang juga Menteri Pengajian Tinggi berjaya mempertahankan kerusinya dengan majoriti 4,436 undi setelah mengalahkan calon Pas Mohd Afandi Mohamad.
Mengenai agenda pembangunan BN di Kelantan, katanya rancangan itu akan diteruskan mengikut pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
"Kita akan teruskan rancangan yang telah digariskan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan,” katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan