Keputusan pilihan raya pengajaran UMNO, BN - Pak Lah
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengakui bahawa keputusan pilihan raya umum Sabtu lepas menjadi pengajaran kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Beliau katanya turut belajar daripada peristiwa itu kerana percaya setiap kejadian ada pengajaran.
“Saya bukanlah seorang yang degil yang tidak mahu belajar daripada kehidupan walaupun apabila ia mempunyai hubungan dengan karier dan tugas saya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat UMNO di sini, semalam.
Presiden UMNO itu berkata UMNO dan BN mengakui keputusan yang diperoleh adalah satu isyarat yang perlu diberi perhatian dan mesti dilaksanakan dengan pendekatan yang lebih efektif.
UMNO dan BN katanya telah sama-sama mengakui dan mempersetujui keputusan pilihan raya umum ke 12 adalah satu keputusan yang diterima dengan baik hasil dari pelaksanaan pilihan raya yang baik, cekap, adil dan saksama.
“Keputusan pilihan raya ini melambangkan satu amalan demokrasi bagi menubuhkan kerajaan dengan baik yang mengikut kehendak dan keputusan dari rakyat,” katanya.
Beliau juga menambah, walaupun tidak memperoleh mandat dua pertiga, kerajaan BN yang bakal dibentuk masih merupakan kerajaan yang kuat kerana hanya kekurangan lapan kerusi untuk mandat majoriti dua pertiga.
“Kami terima keputusan BN kali ini tidak dapat kemenangan majoriti dua pertiga tetapi kami juga mengakui kemenangan 140 kerusi, kurang lapan kerusi untuk dua pertiga adalah majoriti yang kuat, yang boleh memberikan BN menubuhkan kerajaan yang boleh melaksanakan janji manifesto pilihan raya yang telah pun ditetapkan BN,” katanya.
Abdullah berkata menerusi kemenangan itu juga BN masih boleh meneruskan dasar dan program pembangunan yang telah dimulakan dan sedang dilaksanakan kerajaan sebelum ini menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan koridor-koridor pembangunan ekonomi.
“Kerajaan baru yang akan dibentuk adalah kerajaan yang maju, kerajaan yang menunaikan manifesto dan melaksanakan program-program yang telah ditetapkan olah Barisan Nasional dari tahun 2005 hingga sekarang, Rancangan Malaysia ke 9 dan juga melaksanakan pembangunan koridor-koridor seperti mana yang telah dirancang dijalankan sekarang.
“Negara kita masih berada dalam keadaan selamat, keputusan pilihan raya yang terbaru ini tidak akan menimbulkan huru-hara,” katanya.
Ketika di minta mengulas lanjut perihal manifesto yang disuarakan oleh parti pembangkang, Abdullah menegaskan segala isu yang disuarakan atau ditimbulkan oleh parti pembangkang semasa pilihan raya haruslah dibuktikan oleh mereka.
Bahkan apa-apa perkara yang dijanjikan oleh parti pembangkang seperti isu harga barang naik, isu jenayah dan rasuah sebelum ini mestilah dilaksanakan dengan sebaik-baiknya oleh mereka dan tidak hanya berjanji semata-mata.
BN juga katanya akan melantik Jemaah Menteri yang berintegriti dan berkeupayaan agar mereka dapat melaksanakan tugas-tugas di bawah portfolio masing-masing dengan cemerlang.
Ditanya sama ada mesej daripada rakyat itu bermaksud rakyat berasa marah kepada beliau, Abdullah berkata "Mungkin, saya tak tahu, mereka hanya melakukannya.
“Saya hanya menganggapkan bahawa sebagai pemimpin BN, saya melihat apa yang berlaku dan kita perlu belajar daripada peristiwa ini. Saya sentiasa percaya ada pengajaran yang perlu dipelajari. Malah dalam tragedi yang paling buruk sekalipun, ada pengajaran yang boleh dipelajari,” katanya.
Abdullah berkata setiap orang di dalam parti bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku kepada BN kerana parti itu sentiasa membuat keputusan berdasarkan kata sepakat.
“Datuk (Seri) Najib (Tun Razak) ada menyebut bahawa kita semua secara bersama bertanggungjawab terhadap segala yang kita lakukan. Kerajaan Barisan Nasional sentiasa membuat keputusan berasaskan konsensus, keputusan bersama, tanggungjawab bersama.
“Kami, secara bersama, bertanggungjawab terhadap keputusan yang kami buat, ada keputusan yang baik (namun) ada yang mungkin tidak diterima sepenuhnya oleh rakyat. Kita boleh perbaiki,” katanya.
Ditanya apa yang beliau maksudkan dengan "isyarat oleh pengundi yang perlu diberi perhatian oleh BN” Perdana Menteri berkata rakyat mahu supaya kerajaan melaksanakan janji mereka melalui cara yang lebih baik.
“Ada beberapa perkara yang saya tahu yang menjadi isu-isu yang penting semasa kempen pilihan raya, isu-isu yang berkaitan kenaikan harga, misalnya, isu yang berkaitan dengan jenayah, isu yang berkaitan dengan rasuah. Itulah perkara-perkara mustahak yang timbul pada masa itu,” katanya.
Kepada soalan lain sama ada beliau akan menerima Anggota Parlimen daripada Pembangkang yang ingin menyertai BN bagi melengkapkan majoriti dua pertiga, Abdullah berkata: “Jika orang mahu menyertai kita maka kenapa kita harus beritahu mereka supaya jangan menyertai kita.” “Namun, bagi kami, kami bukanlah tergila-gila mahukan (kemenangan) dua pertiga. Dua pertiga adalah dua pertiga, memanglah kita memperoleh dua pertiga sebelum ini," katanya.
Abdullah berkata BN akan melantik sebuah badan bebas sebagai jawatankuasa khas post-mortem untuk menganalisis pencapaian gabungan 14 parti itu dalam pilihan raya umum.
aku suka pandangan bernas blog ko ni...takbirrrr!!!
BalasPadam