HALAMAN SANTAI

Ahad, 9 Mac 2008

Koh Tsu Koon ajar PM supaya berundur
Oleh Abdul Halim Mohd Rashid


KOTA BHARU (Hrkh) - Seolah-olah mengajar Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi apa yang sepatutnya dilakukan, Pemangku Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata, beliau sedia meletak jawatan sebagai pemimpin parti Gerakan berikutan kekalahan besar parti itu dalam pilihan raya umum ini.

Bagaimanapun, Abdullah dilaporkan sebagai tidak mempunyai keinginan untuk meletakkan jawatan.

Berlainan dengan Abdullah, Dr Koh malah meminta supaya disegerakan pemilihan parti untuk membolehkan ahli-ahli Gerakan membuat keputusan mengenai kepimpinan parti itu.

"Saya memikul tanggungjawab sepenuhnya (kerana kekalahan itu). Ini juga bermakna pilihan saya sendiri ialah menawarkan diri untuk meletak jawatan.

"Bagaimanapun, saya memegang jawatan sebagai pemangku presiden parti, dan agak janggal jika saya mengundurkan diri. Siapa yang akan menjadi pemangku presiden (parti) dan memimpin parti. Maka, kita perlu mengadakan pemilihan parti," Bernama memetik beliau.

AFP pula melaporkan pembantu kanan Abdullah, Kamal Khalid memberitahu, ketuanya itu "tidak mempunyai niat untuk meletak jawatan".

Beliau mengakui, Perdana Menteri terperanjat apabila kemerosotan sokongan yang dialami BN begitu besar.

Kamal juga mendakwa Abdulah menerima sokongan "yang agak banyak" dari para pemimpin kanan parti dan akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri esuk.

Tiada ulasan: