Peneroka Felda sifatkan janji Najib hanya gimik pilihan raya
Basiron Abdul Wahab
MARAN (Hrkh) - Peneroka serta generasi kedua Felda menyifatkan pengumuman pelbagai projek khusus untuk masyarakat peneroka oleh Timbalan Perdana Menteri sementara, Dato' Seri Mohd Najib Razak baru-baru ini tidak ikhlas dan gimik pilihan raya semata-mata.
Ini kerana pengumuman dibuat pada musim pilihan raya oleh beliau sedangkan ketika ini Najib adalah Timbalan Perdana Menteri kerajaan sementara.
"Jika ikhlas mengapa tidak diumumkan semasa kerajaan sah, bukan semasa kerajaan sementara, nampak sangat untuk memancing undi,"kata Shahrul Nizam, 29, dari Felda Bukit Tajau.
Menurut Shahrul, apa yang dijanjikan oleh Najib itu bukanlah perkara baru malah dalam setiap kali pilihan raya ada saja janji dibuat tetapi tidak dilaksanakan apabila ada pilihan raya pemimpin ini datang lagi dengan janji baru.
Katanya, peneroka dan generasi kedua Felda sudah muak dengan janji-janji seperti itu, apatah lagi ramai daripada peneroka dan generasi kedua di Felda Bukit Tajau pernah ditipu pemimpin Umno yang menjanjikan tanah dan mengutip wang RM200 seorang bagi tujuan permohonan tanah dua tahun lalu.
"Akhirnya duit kami lesap tanah entah ke mana,"katanya.
Baru-baru ini Najib berjanji untuk membina 1,200 unit rumah kos rendah berharga di antara RM30,000 - RM65,000 di Felda Jengka 11 (200 unit), Triang 3 (300 unit), Meram 1 (300 unit) dan Felda Ciku 5 (300 unit) dengan kos RM40 juta yang disediakan Felda.
Shahrul berkata, kebanyakan janji Najib itu adalah diciplak daripada manifesto Barisan Alternatif 2004 lalu.
Bagi, Mansur Haji Fauzi, 40, dari Felda Kenanga, Jengka 7, beliau tidak akan mengubah sokongan terhadap BA semata-mata kerana janji Felda dan Timbalan Perdana Menteri Sementara itu.
Katanya, sebagai anak peneroka yang menggantikan bapanya, beliau melihat sendiri bagaimana buruknya layanan Felda kepada peneroka.
"Orang melihat Felda sebagai amat berjaya dan gah, tetapi bagi kami Felda tidak lebih buruk daripada syarikat swasta, kerana Felda tidak telus dalam pentadbiranya sehingga peneroka tidak dapat melihat apa juga dukomen yang membabit pengurusan ladang mereka,"katanya.
Menurutnya, peneroka tidak mengetahui apa-apa tentang ladang mereka setelah menyerahkannya kepada Felda dan apa yang peneroka tahu ia cukup bulan mereka mendapat wang sara hidup.
"Peneroka tidak mengetahui apa-apa setelah menyerahkan ladang mereka kepada Felda, apa yang peneroka tahu ialah setiap bulan menerima wang sara hidup,"ujarnya.
Wang sara hidup itu sebenarnya adalah hutang atau pinjaman yang dikenakan kadar faedah tertentu tetapi ia digambarkan seperti gaji kemudian ada pula bonus, wang raya dan sebagainya tetapi hakikatnya wang itu adalah wang peneroka yang dipotong setiap bulan oleh Felda.
"Peneroka seronok menerima wang sara hidup tetapi Felda lebih seronok kerana akan mendapat keuntungan daripada faedah (bunga) yang dikenakan keatas peneroka,"katanya.
Beliau berkata, generasi kedua juga tidak berpeluang untuk bekerja di ladang-ladang kerana Felda kerana membawa buruh asing sebagai buruh di ladangnya ini menyebabkan anak-anak peneroka ini terbabit dengan pelbagai masalah sosial.
"Mereka tidak mempunyai pekerjaan, Felda tidak menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka,"ujarnya.
Bagi Mohd Yusuf Shawal, 58, juga dari Felda Kenanga, Jengka 7, pula tawaran Najib itu sememangnya hebat ia dibuat untuk mengelakkan peneroka meninggalkan Umno/BN namun ia bukanlah cerita baru.
"Bila ada pilihan raya adalah tawaran-tawaran seperti itu,"katanya.
Mohd Yusof berkata, Najib tak perlu membuat tawaran demikian pada musim pilihan raya kerana dia sudah lama jaga Felda apa masalahnya untuk beliau melaksanakan projek.
"Perlu apa tawaran-tawaran pada musim pilihan raya ini, awak ada kuasa kawasan Felda kawasan Melayu, awak berjuang untuk Melayu, buat saja lah jangan nak gula-gula kepada peneroka seperti ini," sinis beliau.
Difahamkan dalam pilihan raya 1999, pihak sama berjanji akan telah menyediakan tapak perumahan untuk generasi kedua di Felda Triang 3, Bera malah papan tanda tapak projek itu telah didirikan tetapi sehingga ini projek belum dilaksanakan.
Kelmarin Najib tanpa malu berjanji lagi untuk membina perumahan untuk generasi kedua di Felda Triang 3, Bera.
"Ini masalah orang kita, seronok dengan janji sehingga menteri pun tak tahu malu untuk berjanji tak tunai lepas itu berjanji lagi, yang peliknya peneroka tetap percaya,"ujar beliau. - mks.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan