Rumah pengerusi SPR disimbahi cat merah
KUALA LUMPUR: Kediaman Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman disimbah cat merah tengah malam Rabu, dipercayai akibat rasa tidak puas hati sesetengah pihak terhadap keputusan SPR membatalkan cadangan penggunaan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum Sabtu ini.
Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah malam, ketika Abdul Rashid dan keluarganya sedang tidur. Sebelum itu, beliau menyertai sesi wawancara di sebuah stesen televisyen swasta.
Beliau yang hanya menyedari kejadian itu pada pukul 7.30 pagi ketika keluar untuk menyerahkan kunci kereta kepada pemandunya, terkejut melihat keadaan luar rumahnya dipenuhi dengan cat merah.
"Saya tidak tahu siapa yang melakukannya kerana tiada sebarang bunyi pelik atau kejadian aneh malam tadi.
"Saya hanya menyedari kejadian itu sejurus membuka pintu rumah dan melihat tembok, sebahagian besar lantai dan pintu pagar dilumuri cat merah selain turut terkena pada salah sebuah kereta.
Tanpa berlengah saya terus membuat laporan polis," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.
Beliau percaya kejadian yang pertama kali menimpanya itu bermotifkan politik dan mempunyai kaitan dengan isu pembatalan cadangan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum 8 Mac ini, yang ditarik balik dua hari lepas oleh suruhanjaya itu.
SPR membuat keputusan itu berikutan laporan keselamatan yang diterima SPR yang mendedahkan terdapat pihak tertentu membeli dakwat terbabit dari luar negara.
Abdul Rashid berkata kejadian itu tidak akan sesekali mematahkan semangatnya dan tidak akan mengubah sebarang keputusan berkenaan pilihan raya yang telah dibuat.
"Mereka yang melakukan dajal ini tentunya tidak berpuas hati dan tidak mahu menerima alasan rasional yang diberi SPR, mereka hanya ikut perasaan dan tidak menggunakan akal yang waras.
"Hari ini rumah saya menjadi mangsa tetapi saya tidak gentar... saya tidak terjejas dengan perbuatan tidak bertanggungjawab itu, saya akan terus lakukan apa yang perlu dan wajar seadila-dilnya," katanya.
Beliau juga tidak menafikan faktor keceluparan sesetengah pemimpin politik yang mencaci dan mempertikaikan keputusan SPR, mendorong para pengikut parti bertindak di luar kawalan kerana terpengaruh dengan dakyah pemimpin tersebut tanpa berfikir panjang.
"Saya juga ada terima SMS (khidmat pesanan ringkas) berbentuk ugutan dan cacian... saya cuma menganggap mereka ini "tidak betul"... mungkin mereka yang tidak bertanggungjawab ini percaya sayalah dalang disebalik perubahan rancangan asal SPR tanpa menyelidikinya dahulu," katanya.
Abdul Rashid berkata beliau bukanlah ahli politik yang memungkinkannya mempunyai seteru, bahkan SPR sendiri tidak memerlukan sebarang undian daripada mana-mana pihak, justeru politik dan taktik kotor sebegini tidak wajar berlaku.
"Saya percaya mereka yang melakukan perbuatan ini bukan penduduk sekitar sini dan saya akan pastikan pilihan raya kali ini berjalan lancar dalam suasana tenang.
Masyarakat pula diingatkan supaya mengundi dengan cara yang lebih matang dan profesional," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Muhammad Sabtu Osman ketika ditemui di tempat kejadian, berkata kejadian itu disaksikan seorang pengawal keselamatan yang bertugas di rumah jiran di hadapan rumah Abdul Rashid.
"Menurut pengawal keselamatan itu, tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta berwarna gelap, berhenti di hadapan rumah Abdul Rashid sebelum seorang daripada mereka turun dan melemparkan cat ke arah pagar rumah.
"Pengawal keselamatan itu kemudiannya menjerit menyebabkan ketiga-tiganya melarikan diri dan mencampak tong cat ke dalam tong sampah di hadapan pagar rumahnya," katanya.
Beliau berkata rakaman imej pada kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumah jirannya itu tidak jelas dan gagal mengenal pasti identiti suspek dan kereta yang digunakan mereka.
"Kediaman Abdul Rashid tidak dipasang CCTV dan ketika kejadian, dua pembantu rumah, dua anaknya, beliau dan isteri sedang nyenyak tidur," katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.