"Saya akan tuntut di akhirat jika BN guna penipuan rampas Kelantan" Nik Aziz
Oleh Suhana A. Samat
Kota Bharu: Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat semalam memberi amaran beliau akan menuntut di akhirat jika Kelantan jatuh kepada Barisan Nasional (BN) melalui penipuan.
Dalam satu sidang akhbar di Kota Bharu, Kelantan, semalam, Mursyidul Am Parti Islam SeMalaysia (PAS), berkata pihaknya terima tetapi akan berduka cita jika rakyat Kelantan memilih kerajaan BN.
'Kami tidak akan patah semangat. Tetapi kalau jatuh Kelantan kerana tipu, saya tidak halalkan satu sen pun duit yang mereka makan. Akhirat kelak, saya akan dakwa balik orang itu,' katanya.
Sebelum ini, PAS telah melahirkan kebimbangan mengenai kehadiran 'pengundi hantu' dalam pilihan raya Sabtu ini.
Ditanya mengenai apa nasib PAS jika Datuk Nik Aziz berundur dari politik, beliau berkata:
'Waktu Datuk Asri takde, semua orang sebut, tak akan ada PAS. Tetapi selepas Datuk Asri mati, PAS semakin berkembang. Bila saya mati, patah tumbuh, hilang berganti.'
Allahyarham Datuk Asri Muda merupakan Presiden PAS pada 1970-an tetapi disingkirkan 1982 oleh golongan radikal parti itu yang dipengaruhi oleh Revolusi Islam Iran.
Ditanya sambutan yang diterima daripada para penduduk Kelantan yang ditemui di Kuala Lumpur pada hujung minggu lalu, Datuk Nik Aziz berkata, beliau tidak sangka dengan sokongan kuat yang diterima golongan itu yang digesa kembali ke Kelantan untuk pulang mengundi PAS.
'Saya beritahu jika mereka ada duit, beli tambang bas sendiri. Takde duit, naik bas yang dicadang oleh parti lawan.
'Naik atas bas, kamu siap takbir. Kalau drebar patah balik, kamu pegang sendiri stereng balik Kelantan,' katanya.
Mengenai janji calon BN untuk menjalankan projek pembangunan di Kelantan jika ia menang kelak, Datuk Nik Aziz menegaskan negeri itu akan tetap melalui pembangunan di bawah PAS.
'Kerajaan pusat akan tetap bawa pembangunan apabila Kelantan di bawah PAS. Tak mesti undi dia. Jambatan baru, koridor RM14 bilion ($6.1 bilion), sekolah kebangsaan,
klinik. Ini semua projek kerajaan persekutuan beri Kelantan apabila Kelantan di bawah PAS. Jadi tiada sebab untuk undi Umno,' katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin, semalam berkata bahawa Kelantan akan menerima dua lagi projek mega jika BN berjaya menawan negeri itu selepas 18 tahun berada di bawah pemerintahan PAS.
Dua projek itu ialah projek hidroelektrik bernilai RM5 bilion dan Lembah Bio di Gua Musang, yang akan membawa masuk pelaburan RM10 bilion.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Manifesto BN Kelantan peringkat Parlimen Pasir Mas, semalam.
Dr Awang Adek yang dikenal pasti bakal dilantik Menteri Besar Kelantan jika BN menang, bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perupok dan kerusi Parlimen Bachok.
'Semua projek ini bukan sahaja dapat memajukan Kelantan dari segi ekonomi tetapi memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat sekitar,' katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.