"Saya tidak akan terima jawatan senator"
KUALA LUMPUR: Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu yang mengumumkan beliau tidak akan menerima jawatan senator yang membolehkannya dilantik sebagai menteri, hari ini berkata beliau tidak mahu memasuki parlimen melalui pintu belakang.
"Saya tidak mahu menjadi senator...saya tidak mahu menjadi menteri menerusi jawatan senator...itu bukan hasrat saya. Pengundi Sungai Siput sudah memutuskannya dan saya menerima keputusan itu, dan saya tidak mahu menjadi senator... bukan saya, mungkin orang lain."
MIC mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum Sabtu lepas dengan semua pemimpin tertinggi parti itu kalah. Samy Vellu kalah di Sungai Siput, timbalan presiden Datuk G. Palanivel (Hulu Selangor), naib presiden Datuk S. Sothinathan (Teluk Kemang), ketua pemuda S.A. Vigneswaran (Kota Raja) dan ketua wanita K. Komaladevi (Kapar).
Dua lagi naib presiden Datuk S. Veerasingham kalah bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungkai Perak manakala Tan Sri K.S. Nijhar tidak bertanding.
Dengan kekalahan itu MIC kini hanya mempunyai tiga anggota Parlimen daripada sembilan yang bertanding. Mereka ialah setiausaha agung Datuk Dr S. Subramaniam (Segamat), Ketua Penerangan Datuk M. Saravanan (Tapah) dan S.K. Devamany (Cameron Highlands).
Samy Vellu pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa pusat parti di ibu pejabat MIC di sini, berkata beliau kini memberi tumpuan terhadap membangunkan semula MIC dan menangani semula kepercayaan kaum India Malaysia.
Samy Vellu berkata beliau masih mempunyai peranan yang perlu dimainkan dalam MIC kerana sudah "mengenali kaum itu sejak 42 tahun lepas" dan tugas utama beliau ialah menarik golongan belia di kalangan 1.8 juta kaum India di negara ini yang berumur 30 tahun ke bawah.
Ditanya sama ada keputusan pilihan raya itu merupakan petanda MIC sudah hilang keyakinan sokongan akar umbi, beliau berkata bukan sahaja MIC yang gagal, malah semua komponen parti termasuk Umno, MCA dan Gerakan.
"Namun saya rasa ia perkara biasa...rakyat sudah lama mengundi kita dan bila ada orang lain yang tampil dan berkata mereka boleh lakukan dengan lebih baik, rakyat memilih untuk memberi peluang kepada mereka bagi membuktikannya," katanya.
"Namun saya mahu memberi ingatan bahawa politik Malaysia sangat berbeza. Rakyat telah meletakkan harapan yang begitu tinggi terhadap mereka yang diberikan undi dan harapan rakyat itu mesti dipenuhi."
Ditanya mengenai wakil MIC dalam kerajaan, Samy Vellu berkata beliau menyerahkannya kepada budi bicara Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.